Antara negara yang bagaikan tidak wujud di peta dunia hari ini adalah Brunei Darussalam kerana saiznya yang begitu kecil. Malah jauh lebih kecil berbanding 2 negeri Malaysia yang mengapitnya iaitu Sabah dan Sarawak.
Tetapi, kecil bukan sebarang kecil. Nama Brunei memang disanjung tinggi oleh kebanyakan rakyat Malaysia kerana sultan mereka iaitu (Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda) Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien yang begitu tegas untuk melaksanakan hukum syariah disana. Selain itu, kita mengenali Brunei kerana limpahan kekayaan Sultannya hasil perolehan daripada industri minyak & gas.
Namun, tak ramai tahu negara yang hanya berkeluasan 5765km² ini sebenarnya mempunyai banyak tempat pelancongan menarik dan patut dimasukkan ke dalam bucket list anda ! Jom kita tengok
Melihat mercu daulah Islam
Islam adalah agama rasmi di Brunei, dan Sultan pula adalah ketua agama rasmi di negara itu. Di Brunei, terdapat 2 masjid ikonik dan paling utama yang menjadi simbol kemegahan Islam di sana.
Masjid Omar Ali Saifuddien
Dinamakan sempena Sultan Brunei ke-28 iaitu Sultan Omar Ali Saifuddien III, masjid ini menjadi simbol umat Islam di negara Brunei. Bangunan masjid ini siap dibina pada tahun 1958 dan menjadi salah satu contoh senibina moden Islam waktu itu.
Masjid dibina dalam sebuah lagun buatan di tepi Sungai Brunei .Masjid ini memiliki menara diperbuat daripada marmar dan kubah utama yang dikatakan bersalut emas tulen. Kapasiti masjid ini adalah 3,000 orang.
Masjid Jame' Asr Hassanil Bolkiah
Sumber : Arrival Guides
Masjid ini tidak terletak di tengah pusat Bandar Seri Begawan, tetapi ianya terletak di kawasan Kampong Kiarong. Pun begitu masjid ini tidaklah terlalu jauh lokasinya, hanya sekitar 4KM dari pusat bandar.
Masjid ini mula dibangunkan pada 1988 dan dibuka pada tahun 1994 sempena jubli perak pemerintahan Sultan Hassanal Bolkiah dengan kos kira-kira 700USD. Tetapi, masjid ini adalah wakaf daripada Sultan sendiri. Sewaktu siap, Sultan Hassanal Bolkiah sendiri membacakan khutbah jumaat buat para jemaah. Power !
Masjid ini mempunyai 29 buah kubah kerana Sultan Hassanal Bolkiah adalah pemerintah Brunei yang ke-29. Masjid ini pula dapat memuatkan kira-kira 5,000 orang dalam satu-satu masa, menjadikannya sebagai masjid terbesar di Brunei.
Mengenal sejarah dan alat kebesaran diraja
Sumber : Media Permata
Anda memang wajib melihat pelbagai alat kebesaran diraja yang dipamerkan Royal Regalia Museum atau Muzium Alat Kebesaran Diraja kerana inilah satu-satunya tempat untuk anda berbuat demikian. Memang tak ada di negara lain!
Bagaimanapun, pengunjung tidak dibenarkan merakam sebarang video mahupn gambar. Satu-satunya kawasan yang dibenarkan untuk mengambil gambar adalah di ruangan lobi utama muzium ini yang mempamerkan usungan diraja.
Sumber : Dreamstime.com
WAKTU OPERASI : SABTU-KHAMIS (9AM-5PM)
JUMAAT (9AM-11:30AM , 2:30PM-5PM)
BAYARAN : PERCUMA
Melihat artifak dan sejarah Kota Batu
Sumber : wikipedia
Untuk ini, anda perlu ke Brunei Maritime Museum. Muzium ini terletak di Kota Batu dan dibuka pada 2015 dengan kos pembinaan sekitar 5 juta BND (Brunei Dollar). Terdapat 3 galeri di muzium ini. Galeri pertama memaparkan beberapa artifak daripada bangkai kapal yang ditemui di perairan Brunei pada 1997.
Galeri ke-2 menceritakan mengenai Kota Batu yang menjadi pusat perdagangan semasa kurun ke-14 dan 17. Antara yang dipaparkan adalah replika kapal dagang asing yang berlabuh di Kota Batu sewaktu itu dan beberapa barang tradisional dan kebudayaan masyarakat Brunei. Sementara itu, galeri ke-3 adalah galeri pameran sementara.
WAKTU OPERASI : AHAD-KHAMIS (9AM-4:30PM)
JUMAAT (9AM-11:30AM , 2:30PM-4:30PM)
SABTU (9:45AM-4:30PM)
Mengagumi sejarah peradaban Melayu
Sumber : darussalam.com.bn
Muzium ini pasti akan membuat anda menghayati bagaimana orang Melayu zaman dahulu menjalani kehidupan seharian mereka dan membuatkan anda bangga serta bersyukur dilahirkan dalam generasi Melayu. Terdapat 3 galeri di muzium ini.
Galeri pertama bertemakan perumahan tradsional di atas air , galeri kedua memaparkan peralatan digunakan oleh masyarakat perkampungan air dalam industri awal dan galeri ketiga memaparkan sejarah masyarakat Melayu darat.
WAKTU OPERASI : AHAD-KHAMIS (9AM-5PM)
JUMAAT (TUTUP)
SABTU (9:45AM-5PM)
Meneroka keindahan flora & fauna di Ulu Temburong
Sumber : Borneo Adventure
Apa kata jika anda tinggalkan Bandar Seri Begawan seketika dan menuju ke Ulu Temburong. Anda akan dibawa menaiki bot menyusuri sungai Brunei, paya bakau untuk menikmati syurga semula jadi, permata Brunei. Taman Negara Ulu Temburong memang menyajikan pemandangan flora dan fauna yang menakjubkan.
Tarikan utama taman negara Ulu Temburong adalah canopy walk yang dapat diakses melalui laluan yang disediakan, kira-kira 1 jam daripada pejabat Taman Negara
Berseronok di taman hiburan sesuai syariah
Sumber : Brunei Tourism
Ha, jangan ingat negara yang mengimplementasi hukum Islam ini bosan yer. Berhibur kan tidak salah, asalkan berada dalam lingkungan Islam. Di sini, taman hiburan yang cukup terkenal adalah Jerudong Park. Dikatakan Jerudong Park adalah salah-satu taman hiburan terbesar dan termahal di Asia Tenggara dengan kos 1Billion Dollar.
Borneo Insider's Guide
Harga bagi warga asing dewasa adalah 15$ dan kanak-kanak warga asing 10$ sahaja. Tetapi, anda juga boleh memilih pakej keluarga yang berharga 50$ untuk 2 dewasa dan 2 kanak-kanak. Bagaimanapun, taman ini hanya dibuka 4 hari seminggu.
Mencari ketenangan di tengah Pusat Bandar
Sumber : wikupedia
Mencari ketenangan di tengah pusat bandar ini macam mustahil kerana ketenangan dan bandar sepatutnya tidak boleh disatukan. Tetapi, lain ceritanya di Brunei. Bandar Seri Begawan memang sangat unik, jauh dari bunyi bingit dan hiruk pikuk.
Pada 2017 pula, Taman Mahkota Jubli Emas seluas 12-hektar pula menambahkan lagi ketenangan tersebut dengan menyajikan pengunjung pemandangan pohonan yang ditanam indah dan dijaga rapi.
Di waktu petang, anda boleh mengunjungi Taman Mahkota Jubli Emas untuk melihat panorama bandar ini yang diulit cahaya senja, dihiasi pula dengan pemandangan kubah emas Masjid Omar Ali Saifuddien yang berkilauan. Allahu, memang menenangkan jiwa.
Sumber : Brunei Tourism
Melihat 'kediaman' terbesar di dunia
Sumber : Good News From Southeast Asia
Ya , anda tidak tersilap baca dan kami juga tidak bergurau. Kediaman terbesar di dunia sememangnya terletak di Brunei iaitu Istana Nurul Iman yang merupakan istana diraja Brunei.
Sebenarnya istana memang bukan tempat pelancongan dan anda tak akan dibenarkan masuk pun (kecuali ketika rumah terbuka aidilfitri) , tetapi disebabkan besarnya Istana Nurul Iman , anda dapat melihat struktur binaan bumbung istana ini dari kejauhan.
Sumber : Welcome Qatar
Jika anda menyusuri Sungai Brunei , anda akan dapat melihat rekaan bumbung ikonik istana ini, dan jika anda melalui kawasan di luar pagar istana juga anda akan dapat melihat struktur tersebut. Memang luar biasa besar.
Istana ini telah berdiri megah sejak 1984 lagi. Dikatakan keseluruhan istana ini mempunyai 1,788 bilik , sebuah masjid yang mampu memuatkan 1,500 jemaah, dewan bankuet yang dapat menampung 5,000 tetamu, helipad, 5 kolam renang dan lebih 250 tandas.
Merasai sedikit kemewahan bak pembesar
Sumber:theempirebrunei.com
Kalau selepas tengok Istana Nurul Iman buat kita rasa teringin untuk tidur di dalam bilik yang mewah. Apa salahnya jika anda menginap di Empire Hotel, yang menjadi kebanggan orang Brunei. Baru lah boleh feeling-feeling macam putera raja. Harga di Empire Hotel bermula dari sekitar $270 Brunei Dollar , setakat pencarian kami.
Sumber : theempirebrunei.com
Mencuba sajian asli masyarakat tempatan
Sumber : Travel is My Favourite Sport
Kata orang, kita tidak betul-betul mengembara dan mengenali budaya sesuatu masyarakat selagi belum mencuba makanan tradisi mereka. Jadi, anda memang patut untuk cuba menikmati sajian masyarakat tempatan. Antara restoran terkenal yang menyajikan makanan tradisional Brunei adalah restoran Aminah Arif. Resepi mereka adalah dari turun-temurun mengekalkan keaslian sesuatu sajian. Mereka mempunyai 4 cawangan secara keseluruhan, jadi anda boleh pilih untuk pergi ke mana-mana cawangan. Menu yang wajib anda cuba pastilah ambuyat !
Jadi macamana, nampak gayanya Brunei ada lebih dari apa yang kita sangka. Kan?