Setelah menunggu bertahun-tahun lamanya, akhirnya ada juga berita gembira berkenaan Genting Highlands. Menurut laporan, Taman tema Genting SkyWorlds bakal dibuka kepada orang ramai pada suku kedua tahun ini (2021), sekali gus akan merancakkan semula sektor pelancongan negara kita selepas bergelut dengan pandemik COVID-19.
Genting SkyWorlds adalah taman tema paling dinantikan di Asia Tenggara buat ketika ini kerana ia bakal menjadi taman tema luar berkeluasan 26 Ekar yang amat mengagumkan pada ketinggian 6,000 kaki dari aras laut. Ini menjadikan Genting SkyWorlds sebagai antara taman tema paling unik, bukan saja di rantau ini, malah di peringkat global tau !
Buat masa sekarang, Genting SkyWorlds yang menelan perbelanjaan kos kira-kira AS$800 juta (RM3.23 bilion) sedang berada dalam fasa persiapan terakhir setelah kerja keras dedikasi pasukan mereka dan rakan kerjasama dari serata dunia bertahun-tahun lamanya.
Terbaru, satu majlis memperkenalkan logo Genting SkyWorlds rasmi secara maya telah berlangsung pada 23 Februari 2021
Pihak pengursan Genting Skyworlds berkata, taman tema tersebut akan dibuka kepada rakyat tempatan buat permulaan, sebelum dibuka kepada pelancong luar selepas sempadan dibuka oleh kerajaan.
Genting Skyworlds bakal membawa pengunjung mengembara sembilan 'alam' yang diinspirasikan dari filem dan pengembaraan iaitu Eagle Mountain, Central Park, Liberty Lane, Robots Rivet Town, Andromeda Base, Ice Age, Studio Plaza, Epic serta Rio.
Semua tarikan tersebut dirancang dan dicipta untuk menyemarakkan daya imaginasi melalui pengalaman imersif, seperti dibawakan terus dari babak filem.
Setiap 'alam' akan menampilkan pelbagai permainan dan tarikan menyeluruh untuk seisi keluarga termasuklah kemudahan untuk membeli-belah, menjamu selera dan menikmati hiburan yang unik.
Selain daripada Hak Intelek (IP) tulen dan menarik yang dimiliki sendiri, taman tema ini juga menggabungkan jenama dan IP daripada 20th Century Studios di dalam permainan dan tarikan bertaraf dunia, yang dijayakan melalui kerjasama strategik antara Genting Malaysia dan 20th Century Studios.
Antara IP yang ditampilkan ialah Ice Age, Night at the Museum dan Planet of the Apes. Memang class !
Katanya, maklumat lebih lanjut seperti harga tiket , tarikan utama akan dimaklumkan pada bulan hadapan. Sama-sama kita nantikan !