Ramai tahu bahawa Silk Air adalah sebuah anak syarikat Singapore Airlines bagi mengendalikan penumpang di rantau Asia Tenggara.
Tetapi, penumpang Silk Air tidak memiliki apa-apa kelebihan biarpun menaiki penerbangan anak syarikat penerbangan ternama tersebut. Misalnya, Silk Air tidak termasuk di dalam kumpulan Star Alliance dan ahli elit bagi program kesetiaan itu tidak mendapat apa-apa kelebihan.
Namun, berita baik apabila rancangan penggabungan yang telah dimulakan sejak 2018 akhirnya direalisasikan. Silk Air secara rasminya mengumumkan bahawa mereka akan meneruskan operasi sebagai Singapore Airlines, mengakhiri era 30 tahun sebagai sebuah syarikat terasing yang hanya mengendalikan penerbangan serantau.
9 buah pesawat Boeing 737-800 Silk Air akan diubahsuai dengan 'livery' Singapore Airlines manakala kerusi penumpang juga akan ditukar dengan kerusi yang baharu.
Selain itu, krew penerbangan juga akan memakai uniform ikonik, Sarong Kebaya.
Menu makanan penerbangan juga mendapat sentuhan baru apabila makanan penerbangan yang disediakan oleh chef Singapore Airlines kini juga boleh didapati di penerbangan serantau.
Jika anda menaiki kelas perniagaan bagi perjalanan 3.5 jam ke atas, hidangan anda akan disertakan dengan buah-buahan segar serta keju. Manakala, bagi perjalanan 5 jam ke atas, anda akan dihidangkan dengan satay ketika makan tengahari juga makan malam.
Mereka menulis di laman web mereka ' Buat 30 tahun yang lalu, Silk Air telah menjadi sayap penerbangan serantau buat Singapore Airlines, terbang ke 40 destinasi Asia Pasifik dan memberikan layanan mesra serta beritilizam menjadikan setiap perjalanan itu menyeronokkan.
Seiring dengan perubahan kami menjadi Singapore Airlines dan memulakan perjalanan baharu, kami juga akan meningkatkan iltizam kami. Supaya anda dapat mengalami pengalaman berharga, tidak kira sedekat mana perjalanan anda. '
Kini, jika anda merupakan anggota elit kepada Star Alliance, anda boleh memasuki ruang menunggu eksekutif atau lounge sebelum menaiki penerbangan dan menikmati kelebihan-kelebihan yang lain.
Antara penerbangan awal bagi wajah baru ini adalah penerbangan ke Phuket bermula 4 Mac 2021 dan Bandar Seri Begawan bermula 15 Mac 2021.