Masyarakat Cina di Malaysia akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina pada 22 dan 23 Januari ini. Tempoh cuti ini dijangka akan dimanfaatkan oleh kaum-kaum lain juga bagi bercuti dan meluangkan masa bersama keluarga.

Untuk itu, kerajaan mengambil inisiatif mengurangkan beban rakyat untuk pulang ke kampung halaman sempena sambutan Tahun Baharu Cina apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa kadar tol percuma pada 20 dan 21 Januari depan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tol percuma itu boleh dinikmati pengguna lebuh raya di seluruh negara pada 20 dan 21 Januari ini.

"(Ada) berita baik (untuk Tahun Baharu Cina). Untuk itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) dan Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Anthony Loke) sudah mengambil inisiatif berbincang dengan syarikat konsesi dan setuju supaya ditiadakan tol bagi 20 dan 21 Januari.
"Ia untuk memudahkan kerana ramai rakyat yang akan pulang ke kampung bukan saja (masyarakat) Cina tetapi juga Melayu, India dan yang lain," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, di Bangunan Perdana Putra.
Beliau turut menitipkan pesanan agar mereka yang pulang bercuti supaya berhati-hati dan mematuhi semua peraturan jalan raya yang ditetapkan.