Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat negeri Selangor dijadual berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada jam 8 malam, 30 Ogos.
Tahun ini, Selangor memilih tema #KitaSelangorTeguh Bersama yang membawa maksud kebersamaan dan keberanian rakyat di pelbagai peringkat dalam menghadapi cabaran melanda.
Tema sempena sambutan kemerdekaan peringkat negeri merupakan refleksi rakyat yang sentiasa membangunkan antara satu sama lain.
Program ambang kemerdekaan yang dianjurkan bakal menggabungkan program kerohanian dan juga acara hiburan.
Terlebih dahulu pada sebelah petang, program selawat dan munajat yang dipimpin Habib Ali Zaenal Abidin akan diadakan pada jam 4.45 petang.
Kemudian, acara sambutan ambang kemerdekaan bakal bermula pada jam 8 malam.
Sambutan diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya persembahan artis terkenal Erni Zakri dan Black Hanifah, perarakan dan perbarisan, tarian pelbagai bangsa, koir, kawad senyap, tempur tanpa senjata serta pertunjukan bunga api.