Sebelum ini kami pernah siarkan artikel berkenaan Bertam Souk & Waterpark yang memulakan operasi bermula 15 Disember 2022.
BACA : TAMAN TEMA AIR ALA TIMUR TENGAH DIBUKA DI BERTAM !
Taman tema yang bernilai kira-kira RM90 juta itu beroperasi di atas tanah seluas lebih lapan hektar milik The Maritime Water Front Suites Sdn. Bhd
Bagaimanapun, tidak sampai 3 minggu selepas dibuka, Taman tema air Bertam Souk & Water Park ditutup sementara bermula 28 Disember susulan tidak mendapat kelulusan dan lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Penutupan premis itu dijalankan oleh penguat kuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Berdasarkan notis yang ditampal di pintu masuk taman tema terbabit, penutupan operasi aktiviti hiburan di premis itu dibuat mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.
Mengikut notis berkenaan, premis di Jalan Bertam itu ditutup atas sebab mengadakan hiburan (taman tema air) tanpa lesen dan melanggar peraturan enakmen hiburan dari pegawai pelesen MBSP.
Dalam pada itu, pihak MBSP menyatakan bahawa mereka telah menghantar notis kesalahan pada 22 Disember 2022 lagi namun operasi Taman Tema Air tetap dibuka kepada awam.
Malah, CCC (Certificate of Completion and Compliance) atau dalam bahasa melayu, Sijil Penyiapan dan Pematuhan juga belum diperolehi oleh itu tidak sepatutnya Taman Tema Air ini dibuka kepada umum. Kelulusan CCC bukan hanya terletak kepada kelulusan jabatan dalaman MBSP namun jabatan serta agensi luar juga.
MBSP juga menyeru orang ramai untuk tidak menyalahkan pihak MBSP atas penutupan ini, sebaliknya mempersoalkan pemilik Taman Tema Air ini yang beroperasi tanpa lesen dan CCC yang sudah pastinya memberikan risiko jika terjadi insiden tidak diingini.