HalalXPlorer Logo
aktiviti & destinasi menarik di perlis
08 October 2024

15 Destinasi & Aktiviti Menarik di Perlis !

Kongsikan:

Perlis yang merupakan negeri terkecil di Malaysia terletak di bahagian utara pantai barat Semenanjung Malaysia dan mempunyai Wilayah Satun dan Songkhla Thailand di sempadan utara. Ia bersempadan dengan negeri Kedah di sebelah selatan.

Ibu negeri Perlis adalah Kangar dan Arau adalah bandar diraja. Mari kita lihat 15 tempat menarik di Perlis dan aktiviti popular yang dilakukan pelancong ke negeri istimewa ini:


Galeri Diraja Arau

Galeri DiRaja Arau telah disempurnakan perasmiannya oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis pada 4 Mei 2005 bersamaan 25 Rabiul Awal 1426 Hijrah yang pada ketika itu merupakan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Ke 12. Aras bawah bangunan ini menempatkan Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis. Manakala di tingkat atasnya pula menyaksikan koleksi-koleksi Almarhum Raja Syed Alwi Ibni Almarhum Raja Syed Saffi, Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail tersergam indah.

galeri diraja arau

Galeri ini tidak dibuka kepada orang ramai pada kebiasaanya. Walau bagaimana pun, pelawat boleh mengunjungi Galeri ini atas limpah perkenan DYMM Tuanku Raja Perlis. Pihak yang berhasrat untuk melawat Galeri ini bolehlah mengemukakan permohonan secara bertulis kepada Setiausaha Sulit Kanan Kepada DYMM Tuanku Raja Perlis ( Klik di Sini).

Galeri ini sentiasa menerima kunjungan pelawat dari dalam dan luar negara termasuklah tetamu-tetamu kenamaan, tokoh-tokoh antarabangsa, tetamu luar negara, persatuan-persatuan dan badan-badan bukan Kerajaan serta pelajar-pelajar sekolah antara lainnya. Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis setiap tahun, Galeri ini akan dibuka kepada seluruh rakyat jelata semasa Program Malam Kilauan Cahaya.

Galeri Diraja Arau menempatkan sebahagian daripada koleksi-koleksi Almarhum Raja Syed Alwi Ibni Almarhum Raja Syed Saffi, Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail. Memandangkan ruangan yang agak terhad, ada juga koleksi-koleksi yang tidak dapat dipamerkan. Malah, ada juga diantaranya pada masa ini diletakkan di Muzium Marhum Kayang.

Muzium Kota Kayang

Anda juga boleh melawat ke Muzium Kota Kayang untuk mengetahui pelbagai sejarah negeri Indera Kayangan ini.

Muzium Kota Kayang
Kredit : Lisa Zahran

Bangunan yang menggunakan seni bina rumah Perlis ini menempatkan tiga buah galeri utama.

Galeri pertama merupakan pengenalan kepada bangunan Benteng Kayang serta barangan yang digunakan oleh golongan bangsawan Perlis.

Galeri kedua pula menempatkan hasil penyelidikan Kota Kayang dan sekitr negeri Perlis.

Manakala galeri ketiga menceritakan tentang keluarga kerabat diraja Nabi Muhammad s.a.w., mempamer replika bunga emas dan pelbagai koleksi lain.

Muzium ini beroperasi setiap hari kecuali pada hari Isnin, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha. Jadi rancanglah percutian anda sebaiknya.

Masjid Alwi & Masjid Al-Hussain

Masjid Alwi merupakan salah sebuah mercu tanda keislaman yang dibina pada tahun 1931. Ia dinamakan sebagai Masjid Alwi sempena nama Raja Negeri Perlis iaitu Almarhum Tuanku Syed Safi Jamalilail. Masjid tertua di negeri Perlis ini turut diiktiraf sebagai tapak warisan negara.

masjid alwi kangar
Kredit : Wan Azmi

Selain itu Masjid Al-Hussain turut menarik untuk dilawati.Masjid yang terletak di Kuala Perlis ini merupakan masjid terapung dan diilhamkan Raja Muda Perlis iaitu Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalulail.

Di sini terdapat tiga batang pokok kurma yang didatangkan khas dari Tanah Arab.

Taman Negeri Perlis & Kanopi SPF Mata Ayer

Taman Negeri Perlis ini pula terletak 3km dari Pekan Wang Kelian iaitu sempadan bagi Malaysia-Thailand.

Di sini anda berpeluang untuk melihat spesies flora dan fauna pada zaman purba yang aneh!

Antaranya pokok Bogak, Beruk Kentoi dan formasi Setul yang merupakan formasi tertua di Malaysia yang dianggarkan berusia lebih 500 juta tahun!

canopy walk perlis

Malah anda boleh melakukan aktiviti jelajah gua, melihat burung, bergambar serta belajar pendidikan alam di sini.

Menariknya tentang hutan ini kerana ia merupakan satu-satunya hutan separa daun di Malaysia!

Hutan separa daun bermaksud, daun-daunnya akan gugur dalam jangka masa yang begitu singkat.

Nak tengok pokok jati yang tertua di Malaysia?

Ayuh melalui jalan kanopi di Laluan Kanopi SPF Mata Ayer.

Taman Buah-Buahan Eksotik Perlis

Nak merasa pengalaman memetik buah anggur? Anda boleh ke Taman Buah-Buahan Eksotik yang terletak di daerah Kangar.

taman buahan eksotik perlis

Taman ini turut beroperasi pada jam 9.00 pagi sehingga 6.30 petang, setiap hari kecuali isnin.

Jika berkunjung ke sini anda boleh melihat pelbagai jenis anggur, antaranya Black Queen, Black Opal dan New White Malaga.

Di sini bukan sahaja terdapat tanaman anggur malah ia turut dipenuhi dengan Pokok Tin, Pokok Gac, Pokok Delima dan lain-lain pokok.

Rimba Herba Perlis

Bagi pencinta herba atau ubat-ubatan tradisional, anda boleh singgah ke Rimba Herba Perlis yang seluas 12 hektar untuk melihat variasi tanaman herba.

rimba herba perlis
Kredit : Azwan Abdullah

Lokasi ini telah dibangunkan pada tahun 1988 bagi mengumpulkan pelbagai tanaman herba yang digunakan oleh penduduk tempatan bagi perubatan tradisional.

Dikatakan pada tahun 2000, koleksi herba taman ini sudah mencecah lebih kurang 600 spesies.

Antara tanaman herba yang terdapat di sini adalah Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Cekor, Selasih dan banyak lagi. Jika berkunjung di sini anda dapat mengenali tentang pelbagai kegunaan dan kebaikan bagi setiap tumbuhan tersebut.

Ladang Nipah Kipli

ladang nipah khipli
Kredit : Hafidzuddin Yahya

Ladang Nipah Kipli yang terletak di Kuala Sanglang ini mempunyai lebih kurang 2000 pokok nipah bagi menghasilkan jus nipah segar.

Anda boleh bersiar-siar dikawasannya bagi melihat pokok-pokok nipah dengan lebih jelas.

Tambahan lagi, anda boleh duduk bersantai di pondok atau berayun di atas buaian bagi menghilangkan kepenatan.

Jangan lepaskan peluang untuk menikmati hidangan Laksa Kuala Perlis dan kepiting sawah yang segar!

Tidak puas menghayati suasana yang mendamaikan ini, anda boleh berkhemah di sini secara berkumpulan.

Tasik Timah Tasoh

Tasik Timah Tasoh merupakan antara tarikan terkini di negeri Perlis ini.

Jika berkunjung di sini, pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti berkayak, menaiki kenderaan seperti scooter, basikal dan kereta api kanak-kanak untuk mengelilingi kawasan tasik serta anda boleh juga memancing di tasik ini.

tasik timah tasok lake
Kredit : malaysia.travel

Destinasi ini sering menjadi tumpuan orang ramai untuk mengabadikan kenangan, kerana terdapat beberapa props yang disediakan bagi mencantikkan gambar anda.

Lokasi ini gamat sehingga waktu malam kerana orang ramai makin galak untuk bergambar di kawasan pokok tulip bercahaya.

Taman Ular dan Reptilia Perlis & Ladang Burung Unta

Anda merupakan peminat haiwan reptilia? Jom singgah ke Taman Ular dan Reptilia yang menempatkan lebih kurang 150 ekor ular daripada pelbagai spesies!

perlis ostrich farm
Kredit : Mohd Azdy Azizan

Anda berpeluang untuk mendekati haiwan ini bagi menangkap gambar dengan pelbagai aksi serta jangan lepaskan peluang untuk melihat persembahan ular.

Di sini bukan sahaja boleh melihat haiwan reptilia malah anda boleh melawat ke ladang bunga matahari!

Ingin bergambar seperti di ladang bunga matahari Lopburi, Thailand?

Jom ke ladang bunga matahari pula untuk ber’ootd’.

Anda juga boleh membawa anak-anak melihat burung unta dan telurnya di Ladang Burung Unta yang terletak di Padang Besar.

Hutan Lipur Bukit Ayer & Hutan Lipur Bukit Kubu

Seperti gelarannya negeri permai lagi mempersona ini turut kaya dengan tarikan alam semulajadi seperti Hutan Lipur Bukit Ayer, Taman Rekreasi Bukit Jernih dan Hutan Lipur Bukit Kubu.

hutan lipur bukit ayer

Di sini anda boleh mandi-manda bersama ahli keluarga serta meluangkan masa untuk berkelah beramai-ramai.

Pemandangan yang menghijau serta bunyi deruan air terjun semestinya menenangkan halwa telinga anda! Jika ke Hutan Lipur Bukit Ayer, anda boleh mengikuti aktiviti mendaki yang dikendalikan oleh jabatan perhutanan.

Hutan Lipur Bukit Kubu pula menawarkan panorama indah serta mempunyai tarikan tersendiri iaitu Gua Ikan dan Gua Harimau.

ATV Maneq Hills Adventure

Jika berhasrat untuk melakukan aktiviti yang lasak, anda boleh mengunjungi ATV Maneq Hills Adventure bagi menempuh 15 halangan ketika mengemudikan ATV bagi menjelajah Bukit Manik.

atv maneq hills

Menariknya tentang aktiviti ini kerana ia tidak menetapkan had umur untuk turut serta, makanya anak-anak anda turut berpeluang untuk mencuba aktiviti lasak ini!

Jangan ragu-ragu untuk membiarkan anak-anak anda mengemudikan ATV, kerana jurulatih mereka sedia membantu dan memantau keselamatan peserta mereka.

Anda boleh ke sini pada bila-bila masa sahaja kerana ia beroperasi setiap hari bermula jam 9.00 pagi atau 10.00 pagi sehingga jam 6.00 petang.

Gua Kelam & Gua Wang Burma

Gua batu kapur ini terletak di pekan Kaki Bukit dan pernah dijadikan sebagai jalan penghubung bagi penduduk Wang Kelian dan penduduk Kaki Bukit.

gua kelam
Kredit : Amritpreet Singh

Namun kini ia merupakan salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di negeri Perlis.

Jika ke sini anda berpeluang untuk meneroka isi gua dengan melalui jambatan gantung.

Malah ia turut dikenali sebagai Taman Rahsia Perlis atau Secret Garden of Perlis.

Hal ini kerana, anda akan disajikan dengan panorama taman yang indah di hujung perjalanan melalui jambatan kayu.

Antara aktiviti menarik di sini adalah rock climbing, hiking dan flying fox serta bergambar di Gua Kelam 3D Galery.

Destinasi gua lain yang turut menarik untuk dilawati adalah Gua Wang Burma. Gua Wang Burma ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Gua Wang Burma Satu dan Gua Wang Burma Dua.

Bukit Keteri

Destinasi ini pula sesuai bagi pecinta alam dan aktiviti lasak. Bukit Keteri yang terletak di Kangar ini dikatakan hasil daripada sebuah gua raksasa yang mana salah sebuah ruangnya dapat menampung jet jumbo!

bukit keteri

Di sini anda dapat melakukan aktiviti panjat batu atau lebih dikenali sebagai ‘Rock Climbing’ yang mana dikatakan antara bukit yang paling sukar dipanjat di Asia!

Bukan sahaja berpuas hati kerana dapat memanjat sehingga ke puncak malah panorama sawah padi yang disajikan begitu memukau pandangan anda!

Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen

Satu lagi destinasi menarik yang terletak di Kangar iaitu Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen. Ia diberi nama sempena Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah.

taman bunga kertas tuanku lailatul shahreen
Kredit : Ronghua Yeow

Di sini anda akan menikmati pemandangan pelbagai warna bunga kertas yang berlatarkan Bukit Cenderawasih. Selain daripada bergambar di sekitarnya, anda juga boleh duduk bersantai dan berjogging di laluan yang disediakan.

Pihak pengurusan taman turut menyediakan tangga untuk anda memanjat ke kawasan yang berbukit, anda pasti terpesona apabila melihat pemandangan penuh taman ini daripada atas bukit tersebut.

Bagi melakukan aktiviti rekreasi anda boleh lawati beberapa taman lain seperti Taman Rekreasi Tasik Melati dan Taman Merdeka.

Padang Besar & Nat Pokok Getah

Anda ingin membeli cenderamata sebagai kenang-kenangan? Jom singgah ke Padang Besar yang terletak bersempadan dengan negara Thailand.

arked niaga padang besar
Kredit : Kosmo

Di sini terdapat pelbagai jenis barangan daripada pakaian, makanan, peralatan dapur sehinggalah barangan persiapan perkahwinan turut dijual!

Antara destinasi membeli-belah yang terkenal di Perlis adalah Nat Pokok Getah.

Namanya seunik destinasinya yang bertempat di kawasan pokok getah! Pasar pagi ini hanya beroperasi pada hari Jumaat dan Ahad seawal jam 7.30 pagi sehinggan jam 12.00 tengahari. Jika anda mencari barangan antik, datanglah ke Nat Pokok Getah ini.


Kategori, Tag dan Negeri
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

PILIHAN PEMBACA