Kalau di Sweden ada pemandu pelancong yang membuat lawatan ke kawasan yang signifikan dengan sejarah virus di negara itu, di Malaysia pula dah ada pameran berkaitan COVID-19 !
Melihat kepada signifikan pentingnya memperingati 90 hari penularan Covid-19 di Malaysia, Fergana Art mengambil pendekatan menganjurkan pameran 'Bridging The Distance: Making Us Stronger' di Galeri, Publika di Kuala Lumpur
Kurator yang juga Pengarah Kreatif Fergana Art M Jaafar Ismail berkata, pameran itu adalah usaha untuk mendokumentasi pandemik yang menular di negara ini dan serata dunia.
Beliau berkata, beberapa wakil agensi media termasuk petugas media sambilan bagi agensi antarabangsa turut dijemput menyertai pameran itu.
"Kami menerima hampir 1,000 bahan iaitu foto, video dan penulisan mengenai Covid-19 membabitkan 75 penyertaan. Namun hanya 60 penyertaan dipamerkan di sini.
"Kesemua bahan itu merakamkan sejarah hari pertama Covid-19 melanda negara pada Januari lalu sehingga berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 9 Jun lalu," katanya dihubungi.
Jaafar berkata, foto yang dipamerkan itu memperlihatkan pengalaman jurugambar yang tidak dapat dijelaskan melalui penulisan atau pertuturan.
"Bagaimana petugas barisan hadapan berjuang melawan wabak dan rakyat mengambil tanggungjawab moral mengikut arahan kerajaan serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kehidupan harian masing-masing," katanya.
Katanya, Covid-19 memberi kesedaran kepada semua untuk melalui sejarah ke masa depan dan memaparkan komitmen tanpa mengira taraf hidup, bangsa serta agama.
Beliau berhasrat mengadakan beberapa siri pameran itu di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menerusi kerjasama pelbagai agensi serta pihak swasta.
Pameran berlangsung sehingga 30 Jun ini dan orang ramai boleh berkunjung ke pusat beli belah berkenaan untuk menikmati rakaman sejarah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Antara gambar menarik
Sumber : Hmetro