HalalXPlorer Logo
08 June 2020

Rakyat Malaysia baru pulang dari luar negara hanya perlu kuarantin sendiri di rumah mulai 10 Jun

Kongsikan:

Bermula 10 Jun ini, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara tidak lagi akan dikuarantin wajib di pusat kuarantin, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sebaliknya rakyat Malaysia hanya perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah masing-masing sekiranya ujian swab yang perlu dijalani di lapangan terbang sejurus ketibaan adalah negatif koronavirus (Covid-19) sementara bagi yang positif pula akan dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Mereka diwajibkan memuat turun aplikasi MySejahtera dan akan dipantau melalui aplikasi ini. Mereka juga diwajibkan memakai gelang tangan kuarantin bagi memudahkan proses identifikasi.

"Kepatuhan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing juga dapat dipantau oleh pihak berkuasa melalui aplikasi MySejahtera," katanya pada sidang akhbar harian pada 7 Jun.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerajaan selepas mengambil kira kadar jangkitan Covid-19 di negara-negara lain sudah terkawal dengan lengkung jangkitan melandai dan menurun selain peningkatan keupayaan membuat saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan individu yang mengingkari arahan kuarantin wajib dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan akan dikompaun RM1,000 dan dihadapkan ke mahkamah.

Mengulas lanjut beliau berkata, keputusan ujian swab boleh diketahui dalam tempoh satu ke dua jam namun begitu sekiranya perlu menunggu lebih lama seperti dua hari, individu terlibat akan dihantar ke pusat kuarantin yang disediakan dan perlu membayar kos kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Dalam pada itu menurutnya, sehingga awal pagi ini, sebanyak 156 pusat kuarantin masih beroperasi berbanding 165 pada hari sebelumnya dengan 14,665 individu menjalani proses kuarantin wajib.

Katanya, seramai 50,873 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April sehingga kini.

"Sehingga hari ini, seramai 40,805 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang," katanya.

Sumber : Bernama

Untuk rekod, sebelum ini rakyat Malaysia pulang dari luar negara akan dikuarantin di fasiliti diselia kerajaan dan juga premis swasta. Antaranya adalah hotel-hotel mewah, boleh dibaca disini

Kategori, Tag dan Negeri
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

PILIHAN PEMBACA