Antara perkara yang sangat sinonim dengan taman tema adalah kemeriahan dan suasana riuh dek kerana jeritan menaiki permainan yang menggerunkan , ketawa dan gurau-senda serta keseronakan.
Tetapi, cuba anda bayangkan mengunjungi taman tema namun tidak dibenarkan menjerit. Ironi bukan ?
Itulah saranan yang disuarakan oleh sebuah persatuan mewakili syarikat pengurusan taman tema di Jepun apabila dibuka semula selepas krisis pandemik COVID-19 di negara matahari terbit itu kian reda.
Antara maskot di Tokyo Disneysea.
Sumber : Disney Parks
Walaupun taman tema dibuka semula buat orang ramai bersuka ria, tetapi persatuan tersebut mencadangkan set panduan atau prosedur operasi standard (SOP) dinamakan “Guidelines to Prevent the Spread of Infection of the Novel Coronavirus” yang perlu dipatuhi oleh pengunjung. Antara isi penting di dalam SOP tersebut adalah :
- Jumlah pengunjung taman tema perlu dihadkan berbanding kapasiti asal
- Proses sanitasi perlu dilakukan dengan lebih kerap di kawasan Taman Tema
- Pengambilan suhu badan pengunjung di pintu masuk taman tema
- Penggunaan topeng muka bagi pengunjung taman tema adalah diwajibkan.
- Memastikan pintu atau tingkap bagi kawasan tertutup sentiasa dibuka bagi memastikan pengudaraan yang baik
Tetapi, yang menjadi perhatian ramai adalah : - Pengunjung dilarang untuk bersentuhan apatah lagi high-five dan peluk maskot adiwira pujaan di sekeliling taman tema tersebut.
- Selain itu, pengunjung yang memasuki rumah hantu harus tetap menjaga jarak sosial kerana kerana ada kemungkinan mendapat jangkitan jika bersentuhan. Maklumlah, coronavirus tidak takutkan hantu.
- Tetapi, yang paling ironi sekali adalah pengunjung DILARANG menjerit ketika menaiki roller coaster dan juga ketika melakukan aktiviti lain. Macamana tu?
Sumber : CNN
Panduan baru ini bukan dicadangkan oleh satu taman tema sahaja. Tetapi, cadangan ini disuarakan oleh sebuah persatuan mewakili beberapa pihak pengurusan taman tema yang bernama The East Japan and West Japan Theme Park Associations .
Persatuan ini bukan biashe-biashe , mereka terdiri daripada 30 syarikat pengendali taman tema di Timur dan Barat Jepun. Antara syarikat pengendali dalam persatuan ini adalah Universal Studios Japan dan Oriental Land Company iaitu syarikat yang mengendalikan Tokyo Disneyland dan Tokyo Disneysea.
SOP atau garis panduan ini tular selepas dimuatnaik oleh Nagashima Resort hot spring facility yang terletak di Mie Prefecture di laman sesawang mereka.
Nagashima Spa Land
Sumber : Thegate
Sudah pasti set garis panduan yang dicadangkan ini bertujuan menjaga keselamatan semua yang berada di taman tema tersebut, baik pengunjung mahupun pekerja dari terkena jangkitan Coronavirus.
Walaupun sekali baca macam tak masuk akal, tetapi bila dilihat betul-betul, semua arahan ini mempunyai alasan yang kukuh.
Pertama , menjerit memungkinkan keluarnya titisan air dari mulut seseorang yang akhirnya boleh merebakkan kuman, bakteria ataupun virus kepada orang lain.
Kedua, sebahagian pekerja tidak sesuai memakai topeng muka sebagai contoh mereka yang memakai maskot dan pelakon di rumah hantu, sebab itu pengunjung perlu jarakkan diri.
Selain dari itu, terdapat beberapa lagi garis panduan yang dicadangkan antaranya adalah mengenai khidmat pelanggan. Sebarang komunikasi antara pelanggan dan pekerja perlu diminimakan.
"Cara baru khidmat pelanggan, walaupun anda memakai topeng muka, anda masih boleh gabungkan ekspresi mata, gerakan tangan untuk komunikasi dengan pengunjung." Kata salah seorang yang mencadangkan.
Mereka juga mencadangkan fasiliti hiburan untuk menggalakkan pembayaran nirtunai (cashless) dan pembelian tiket yang lebih awal bagi mengurangkan tempoh masa diambil bagi beratur dan menguruskan wang.
“Panduan ini mungkin tidak akan membuatkan jangkitan menjadi sifar tapi sekurangnya, ia boleh mengurangkan risiko jangkitan,” kata seorang pengendali taman tema.
Taman Tema Fuji-Q Highland berdekatan gunung Fuji
Sumber : Klook
Selain daripada garis panduan tersebut, beberapa taman hiburan telah menerapkan peraturan mereka sendiri.
Fuji-Q Highland, taman tema di kaki Gunung Fuji yang terkenal dengan pengalaman rumah berhantu, hanya membuka tempat tarikan luarannya (outdoor) dan hanya membenarkan pengunjung yang tinggal di wilayah Yamanashi, Nagano, Niigata dan Shizuoka untuk memasuki taman tema tersebut.
Untuk rekod, pelbagai taman tema di Jepun telah ditutup sejak Februari 2020 yang lalu sebagai usaha membendung jangkitan COVID-19 yang lebih mudah tersebar di kawasan padat dengan manusia. Kini beberapa taman tema di Jepun telah kembali menerima pengunjung berikutan krisis COVID-19 yang kian reda.
Sumber : Bloomberg
Bagaimanapun, Taman tema paling terkenal di Jepun, Tokyo Disneyland dan Universal Studios Japan masih belum dibuka sehingga sekarang dan belum ada tarikh ditetapkan untuk kedua-duanya beroperasi semula. Tetapi jika mereka beroperasi dan anda mahu berkunjung, tolong diam dan jangan terjerit-jerit .
Sekian dari bilik berita, Surgaroute