Sumber : CGTN
Selepas penduduk Wuhan diarahkan untuk menjalani perintah berkurung, pelbagai fasiliti dan tarikan pelancongan di kawasan itu juga mengalami nasib yang sama iaitu larangan beroperasi dan menerima pengunjung buat 4 bulan.
Namun, siapa sangka Wuhan yang merupakan lokasi pertama Covid-19 ini dikesan, kini antara kawasan terawal boleh menunjukkan tindakan berani melakukan perhimpunan beramai-ramai ibarat tiada kegusaran jika wabak itu kembali menyerang dengan gelombang ke-2.
Kali ini, penduduk di wilayah itu sekali lagi mencetus kebimbangan ramai, apabila sebuah taman tema Happy Valley dilaporkan mula beroperasi dan kini sedang dipenuhi dengan ribuan pengunjung.
Taman tema yang mula beroperasi sejak 2012 itu mula menerima kehadiran sebanyak 3,000 pengunjung pada 19 Mei walaupun timbul kebimbangan masyarakat dunia terutamanya badan autoriti Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengenai kemungkinan akan berlaku gelombang kedua wabak tersebut di China.
Sumber : CGTN
Pembukaan taman tema tersebut adalah kerana kerajaan China telah melonggarkan sekatan dan membatalkan perintah berkurung serta membenarkan penduduk di Wuhan kembali menjalani kehidupan seperti biasa secara perlahan dan beransur-ansur memandangkan pelbagai langkah sudah dilakukan kerajaan untuk memerangi wabak itu.
Bagaimanapun, penduduk dunia tidak perlu terlalu gopoh membuat penilaian. Ini kerana taman tema tersebut hanya dibuka untuk kunjungan 20% sahaja dari kapasiti asal. Pengunjung juga perlu membuat tempahan awal dan suhu badan mereka akan diambil sebelum memasuki taman tema tersebut.
Saringan buat penduduk Wuhan
Sementara itu, ujian saringan yang dilakukan secara besar-besaran kepada penduduk Wuhan telah pun bermula pada 14 Mei lalu. Taman dan ruang awam kini digunakan sebagai stesen sementara untuk penduduk membuat saringan secara percuma.
Setiap ujian saringan itu mengambil masa selama tiga minit dan ia adalah percuma kepada orang awam. Walaupun penduduk tidak diwajibkan untuk mengambil bahagian dalam kempen ujian saringan tersebut, pihak berkuasa menggambarkannya sebagai satu tanggungjawab.
saringan kesihatan buat penduduk di Wuhan
Sumber : ARS Technica
Ujian saringan itu menyasarkan warga emas dan kanak-kanak yang lazimnya tidak akan menjalani ujian dalam kuantiti yang besar semasa perintah berkurung dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan di bandar tersebut.
Pihak berkuasa tempatan percaya bahawa ia adalah cara terbaik untuk memastikan sekolah dan perniagaan boleh berjalan seperti biasa.
Sumber : TRT World
Untuk rekod, wabak itu menampakkan tanda-tanda reda di China apabila negara tersebut kini bukan lagi di kalangan 10 negara teratas dalam senarai negara dengan bilangan tertinggi jangkitan pandemik COVID-19.
Walau bagaimanapun, mereka masih mengamalkan langkah berjaga-jaga dan tidak mahu menolak kemungkinan bahawa gelombang kedua mungkin akan meletus.
Sekian dari unit berita di rumah, Surgaroute