Setelah hampir dua tahun sempadan antarabangsa ditutup akibat penularan wabak Covid-19 yang turut menyaksikan Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia-Singapura turut sepi, kini langkah pembukaan sempadan telah mula diambil melalui program Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura.
Kumpulan pertama program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat Malaysia-Singapura yang terdiri daripada 46 orang pengembara telah tiba di Larkin Sentral pada jam 9:10 pagi 29 November 2021 dengan menaiki bas TranStar dari Singapura.
Kesemua mereka yang disambut Penasihat Menteri Besar, Datuk Tee Siew Keong perlu menjalani ujian pengesanan pantas (RTK), On Arrival Test (OAT) Covid-19 semasa tiba di balai ketibaan Larkin Sentral bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
OAT adalah ujian saringan yang dibuat sebaik pengembara tiba di Terminal Pengangkutan Awam Larkin selain ujian saringan Covid-19 yang wajib dibuat di Singapura dua hari sebelum berlepas.
Setibanya di Larkin Sentral, semua pengembara perlu mengemukakan Vaccination Travel Pass (VTP) serta keputusan ujian Covid-19 yang dilakukan di negara itu.
Hanya pengembara yang disahkan negatif sahaja dibenarkan meneruskan ke destinasi lain, namun jika didapati positif pula, Kementerian Kesihatan akan mengambil alih pengurusan pengembara berkenaan.
Perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan Johor Bahru.
Selain diwajibkan divaksinasi penuh, laluan VTL hanya menggunakan bas sebagai mekanisme pengangkutan.
Perkhidmatan bas VTL darat ditetapkan ke Singapura menerusi Terminal Bas Larkin Sentral sebagai lokasi turun naik penumpang di Malaysia, manakala Terminal Queen Street dijadikan pusat turun naik penumpang di Singapura.
Sebelum itu, seramai lima orang warganegara Malaysia yang mempunyai permastautin tetap (PR) Singapura menggunakan VTL Darat menaiki bas Causeway Link yang berlepas pukul 7.30 pagi dari Larkin Sentral menuju ke republik Singapura.
Secara keseluruhan, dijangkakan seramai 1,440 individu akan menggunakan VTL darat antara Malaysia dan Singapura yang dilaksanakan serentak dengan VTL udara.