Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara yang sepatutnya tamat semalam, dilanjutkan hingga 31 Mac depan.
Pelaksanaan itu bagaimanapun tidak meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah serta lokaliti tertentu yang diletakkan bawah PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Diperketatkan (PKPD).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perintah baharu itu sudah direkodkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, keputusan melanjutkan PKPP itu mengambil kira hasil penilaian risiko dijalankan oleh Kementerian Kesihatan yang mendapati peningkatan ketara kes COVID-19 masih berlaku di seluruh negara dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.
"Peningkatan kes ini antara lain disumbang pelaksanaan saringan wajib terhadap pekerja warga asing secara besar-besaran di beberapa negeri tumpuan.
"Selain itu, ia berpunca daripada penularan jangkitan dalam komuniti yang dikesan, terutama di Lembah Klang dan beberapa negeri lain.
"Sehubungan itu, semua prosedur operasi standard (SOP) bawah PKPP adalah terpakai bagi tempoh kuat kuasa diwartakan dan tertakluk kepada perubahan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengenai aktiviti pelancongan pula, katanya, ia berdasarkan ketetapan diumumkan sebelum ini oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, namun perlu mematuhi SOP ketat.
Beliau sekali gus menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP dengan mengamalkan 3W dan mengelakkan 3C bagi mengawal penularan COVID-19.
Amalan 3W ialah memakai pelitup muka (wear), kerap mencuci tangan (wash), memberi amaran kepada ahli keluarga, rakan dan jiran untuk mematuhi SOP (warn), manakala 3C dielakkan pula adalah tempat sempit (confine space), kesesakan (crowded place) serta bercakap dengan rapat (close conversation).
"Hari ini, kita berada dalam tahun baharu 2021. Seperti saya nyatakan, cabaran 2021 adalah lebih besar bukan saja bagi negara ini, malah seluruh dunia.
"Mari kita memulakan perjalanan 2021 dengan tekad dan azam untuk terus bersama mendepani apa jua cabaran, khususnya dalam memerangi wabak COVID-19.
"Sentiasa patuhi SOP dan amalkan kawalan kendiri untuk kekal selamat," katanya.