Sewaktu kecil dahulu, anda pernah terfikir tak bagaimana lokomotif keretapi boleh bertukar arah sebaik sahaja sampai ke destinasi terakhir? Iyalah, landasan keretapi pada masa itu hanya satu sahaja, bukannya berkembar seperti sekarang. Set keretapi juga tak sama seperti keretapi moden yang mempunyai dua kepala berlainan arah.
Rupanya, keretapi menggunakan turn table untuk memusingkan lokomotif supaya dapat kembali ke arah yang sepatutnya.
Zaman berubah, set keretapi pun berubah juga hehe. Baru-baru ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah melancarkan set keretapi moden menggunakan Diesel iaitu KTM Class 61 Diesel Multiple Unit (DMU) untuk laluan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Sama seperti set keretapi moden yang lain, ia juga mempunyai kokpit pemandu di kedua-dua arah. Jadi, tak perlu nak pusing-pusing keretapi lagi.
Disebabkan itu, turn table bagi keretapi di Tumpat, Kelantan sudah tidak perlu digunakan lagi dan terpaksa dibongkarkan.
Turn table manual terakhir di Malaysia yang terletak di Tumpat dibongkarkan pada 23 Jun 2021, jam 11.30 pagi setelah 108 tahun digunakan.
En. Azman Hasan, Pegawai Operasi Tumpat berkata tujuan ia dibongkarkan adalah untuk memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf landasan baharu yang menghubungkan Depoh Tumpat ke bahagian pencucian tren.
Turn table tersebut akan ditempatkan ke lokasi baharu sejurus perbincangan lanjut dilakukan sebagai simpanan sebahagian sejarah kereta api untuk tatapan generasi akan datang.
Untuk rekod, turn table mula digunakan pada tahun 1913 di Depoh Stokereta Tumpat, Kelantan yang pada ketika itu di bawah pentadbiran Federated Malay States Railway (FMSR).
Ia dibina di England dan dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh Syarikat Patent Shaft & Axletree Engineers Co. Ld.
Keunikan turn table ini terletak pada titik graviti yang sangat sempurna, iaitu boleh dipusingkan dengan menggunakan dua hingga tiga orang kakitangan sahaja dalam satu-satu masa. Keseimbangan graviti membolehkan turn table dapat memusingkan lokomotif dengan mudah sesuai dengan berat beban.
Semoga turn table ini disimpan dengan baik untuk tatapan generasi akan datang !