Sejak kebelakangan ni, kita dah tengok banyak kedai serbaneka Korea dibuka di Malaysia, antaranya seperti seperti CU dan emart24. Berita baik ! Sebab akan ada satu lagi jenama kedai serbaneka yang popular di Korea akan memasuki pasaran Malaysia !
Katanya, pengendali kedai serbaneka runcit, GS Retail, telah bekerjasama dengan konglomerat runcit Malaysia KK Group untuk membawa francais GS25 ke pasaran Malaysia pada tahun hadapan !
KK Group kini mengendalikan 610 kedai serbaneka KK Mart di Malaysia dan mempunyai perniagaan lain, seperti hotel dan pusat peranginan. Matlamat mereka adalah untuk mengembangkan kedai GS25 ke Asia Tenggara dengan 500 cawangan dalam tempoh lima tahun akan datang. Malaysia akan menjadi destinasi ketiga GS25 di luar Korea Selatan, selepas Vietnam & Mongolia.
Dengan kemasukan GS25 ini, kita boleh agak akan ada elemen Korea Selatan yang turut dibawa masuk. Kita boleh mengharapkan makanan Korea yang popular seperti bibimbap, topokki, sandwic Inkigayo dan banyak lagi akan dijual di Malaysia.
Tapi, kalau melihatkan GS25 di Vietnam, di sana siap ada produk sayuran dan bahan segar !
Apapun, kami tidak sabar untuk tengok apakah kelainan yang akan dibawa oleh GS25 bagi bersaing dengan kedai serbaneka sedia ada di Malaysia seperti 7-Eleven, MyNews, Family Mart, CU dan pelbagai lagi. Kita sama-sama nantikan perkembangan lanjut berkenaan pembukaan GS25 di Malaysia, Okay ?