Pulau Langkawi merupakan sebuah pulau bebas cukai terkenal di negeri Kedah yang boleh diakses menggunakan penerbangan dan juga feri dari Kuala Perlis dan juga Kuala Kedah.
Ramai dari kalangan kita menggunakan feri untuk ke Pulau Langkawi, terutamanya penduduk di belah Utara Semenanjung. Bagaimanapun, dikhabarkan bahawa kadar tambang feri untuk ke Pulau Langkawi akan dinaikkan.
Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengumumkan kenaikan kadar tambang baharu bagi laluan feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa mulai 5 Ogos 2022.
Konsortium tersebut yang merupakan gabungan tujuh syarikat feri penumpang yang terbesar di Malaysia terpaksa menaikkan harga antara RM3 hingga RM11.50 mengikut kategori umur.
Langkawi-Kuala Perlis
Bagi laluan Pulau Langkawi-Kuala Perlis-Pulau Langkawi, kadar tambang untuk dewasa naik RM3 daripada RM18 kepada kadar baharu RM21.Kadar tambang kanak-kanak juga naik RM3 menjadi RM16 berbanding RM13 sebelum ini.
Selain itu, kadar tambang untuk dewasa bukan warganegara naik RM9 daripada RM18 kepada RM27, manakala kanak-kanak bukan warganegara naik RM6.50 daripada RM13 kepada RM19.50 bagi laluan itu.
Bagaimanapun, empat kadar tambang dikekalkan iaitu dewasa (penduduk Langkawi), kanak-kanak (penduduk Langkawi), orang kurang upaya (OKU) dan warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Kadar tambang RM15 masih kekal bagi dewasa (penduduk Langkawi), manakala kanak-kanak (penduduk Langkawi) dan OKU kekal RM10 serta warga emas 60 tahun ke atas RM13.
Langkawi-Kuala Kedah
Tambang dewasa dan kanak-kanak bagi laluan Pulau Langkawi-Kuala Kedah-Pulau Langkawi juga naik RM3 menjadikan kadar terbaharu masing-masing adalah RM26.50 dan RM20.50.
Kadar tambang dewasa bukan warganegara pula naik sebanyak RM11.50 menjadikan kadar terbaharu RM34.50 dan kanak-kanak bukan warga negara pula naik sebanyak RM8.50 daripada RM17 kepada RM25.50.
Harga tambang untuk empat kategori kekal pada harga sama seperti sebelum ini, iaitu RM20 bagi dewasa (penduduk Langkawi), RM14 bagi kanak-kanak (penduduk Langkawi), RM14 bagi OKU dan RM17 bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Sebagai makluman, kali terakhir kenaikan tambang feri Langkawi adalah 15 tahun lepas pada 15 Disember 2007 iaitu RM5 bagi laluan Kuala Kedah dan RM3 bagi Kuala Perlis dan ketika ini kadar tambang per batu nautika bagi perjalanan dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi adalah yang terendah.
Jadi, diharap dengan zaman inflasi ini kita dapat bersabar dan memahami keadaan pengusaha feri Langkawi. Kalau mampu, tetap sokong mereka yang baru nak pulih selepas pandemik COVID-19.