Laman Florikultur di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA 2022) yang diusahakan Jabatan Pertanian dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Landskap, Perbadanan Putrajaya dan Pos Malaysia mempersembahkan taman berkonsepkan Miracle Garden yang menonjolkan keunikan landskap dengan elemen etnobotani, bungaan produktif dan estetik, tanaman edible serta menerapkan aspek pertanian pintar untuk dinikmati oleh para pengujung.
Laman itu juga turut menampilkan elemen fauna termasuk penggunaan kira-kira 300 ekor rama-rama serta alunan pancuran air.
Laman berkeluasan 0.6 hektar yang dipenuhi dengan 20,000 pokok terdiri daripada 77 spesies, menghasilkan komposisi taman yang indah. Secara keseluruhan, terdapat 8 taman berlainan di Laman Florikultur MAHA 2022.
Secara keseluruhan, terdapat lapan taman bunga diketengahkan iaitu Taman Pelangi, Taman Vertikal, Taman Bunga Matahari, Taman Tropika, Taman Petunia, Taman Orkid, Taman Urban dan Taman Inggeris.
Taman Pelangi
Taman ini menggabungkan pelbagai jenis tanaman hiasan semusim yang mempunyai aneka warna untuk menghasilkan warna-warni keceriaan kepada pengunjung.
Taman Vertikal
Tanaman foliage seperti bayam Brazil dan bromeliad di taman ini disusun secara menegak bagi memperkenalkan kaedah penanaman vertikal yang dapat meningkatkan produktiviti tanaman walaupun tanpa kawasan yang luas.
Taman Bunga Matahari
Mempunyai keunikan yang berbeza antara satu sama lain, Taman Bunga Matahari diolah dengan ratusan bunga matahari disusun rapat bagi memberikan impak seakan sinaran mentari, selain dihiasi dengan struktur cermin dan kincir angin bagi memberikan pantulan refleksi serta membangkitkan keinginan pengunjung untuk merakamkan gambar.
Taman Tropika
Taman Tropika pula mengetengahkan lebih 15 daripada spesies tumbuhan herba dan bunga eksotik yang jarang ditemui oleh orang ramai. Ini termasuk spesies tumbuhan bunga giant bird of paradise, lempoyang, rattle snake dan sepit udang yang lazimnya hanya boleh ditemui di kawasan hutan tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Pahang.
Setiap tumbuhan di Taman Tropika mempunyai fungsi etnobotani yang baik, tidak hanya bersifat cantik malah boleh dijadikan ubat kepada manusia. Oleh itu, apabila berada di taman ini, pengunjung akan dapat merasai pengalaman seperti sedang berada di dalam hutan tropika.
Taman Petunia
Taman Petunia mempamerkan keunikan warna kelopak bunganya yang cantik dan menjurai sekaligus dapat menyuntik elemen estetika.
Gabungan 200 nos spesies petunia pelbagai warna yang disusun pada struktur khas memberikan gabungan landskap yang menari.
Taman Orkid
Di sini pengunjung dapat melihat pelbagai spesies orkid. Orkid seperti mokara disusun atur secara upside down bagi menarik pandangan visual secara vertikal dan terestrial yang mana secara tidak langsung memberikan cetusan idea yang segar kepada peminat anggerik untuk lebih kreatif menanam bunga tersebut.
Taman Bandar
Di Taman Bandar pula, pengunjung berpeluang melihat beberapa arca bermotifkan daun selain didedahkan dengan aktiviti pertanian bandar yang menggunakan kaedah konvensional iaitu batas tanaman atau raised bed serta pertanian moden hidroponik di laman rumah atau di kawasan kebun komuniti.
Konsep pertanian ini diharap dapat memberikan panduan kepada pengunjung untuk menjimatkan barangan dapur dan menjana pendapatan sampingan. Antara tanaman yang sesuai untuk penanaman ini ialah pokok limau purut, pokok limau kasturi, kunyit, pandan wangi, pudina, kari dan cili api.
Taman Inggeris
Elemen kolam buatan, pancuran air, pagar, gerbang arca dan kerusi taman pula digunakan untuk melengkapi Tanaman Hiasan Semusim serta pokok juniper di Taman Inggeris bagi memberikan pesona seakan Hyde Park, London.