Kami yakin, bila berbicara mengenai masjid cantik di Negeri Terengganu, ramai di antara kita akan terkenangkan Masjid Kristal di Pulau Wan Man, atau Masjid Putih di Pusat Bandar, atau Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Ibai.
Di luar Kuala Terengganu pula kita teringatkan Masjid Hadhari, Masjid Ulul Albab & Masjid Lapan Kubah.
Tetapi sebenarnya, masjid yang terbesar dan paling gah di negeri Terengganu adalah Masjid Taman Ilmu di Tembila, Besut. Masjid ini telah dibina pada 2007 dan siap pada 2014 dengan kos RM46.8 juta (tidak rasmi).
Masjid Taman Ilmu ini mampu menampung sehingga 10,000 jemaah pada satu-satu masa, menjadikan ia sebagai masjid terbesar di negeri Terengganu dan ke-5/6 terbesar di Malaysia.
Seni bina masjid Taman Ilmu adalah berasaskan konsep rekabentuk Masjid Lama Kg Tuan (1830 Masihi) di Chukai, Kemaman. Ia menerapkan identiti masjid dengan mengaplikasikan rekabentuk bumbung bertingkat (bumbung berlapis), buah gutung dan mihrab separa bulatan.
Masjid di atas tapak Parcel A, Taman Ilmu dengan keluasan 12.4 Hektar ini sebenarnya adalah sebahagian daripada perancangan keseluruhan dan impian bekas Menteri Besar Terengganu ketika itu untuk mewujudkan sebuah hub pendidikan negeri Terengganu di bawah rancangan Koridor Ekonomi Pantai Timur / East Coast Economic Region ECER.
Rancangan ECER ini adalah satu usaha bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk memangkin tahap pembangunan kawasan Pantai Timur semenanjung.
Setiap negeri di Pantai Timur (Kelantan-Terengganu-Pahang) akan muncul dengan tema pembangunannya yang tersendiri dan Negeri Terengganu akan dikenali sebagai gerbang pelancongan dan pendidikan bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Projek keseluruhan Taman Ilmu ini berkomposisikan komponan bangunan termasuk perpustakaan, kolej kediaman, mini stadium, dewan konvensyen, dewan kuliah, masjid dan akan menempatkan beberapa institusi pendidikan.
Namun sayang seribu kali sayang, projek ini akhirnya dipalit pelbagai isu dan kontroversi atas sebab-sebab tertentu.
Sehingga ke hari ini projek Taman Ilmu ini gagal disempurnakan yang mana menyaksikan Masjid Taman Ilmu ini juga tidak diimarahkan dek kerana kurangnya ahli kariah / jemaah disitu.
Lokasi
?Masjid Taman Ilmu, Unnamed Rd,, 22020 Jerteh, Terengganu