Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi / Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) bakal diadakan semula pada 2023.
Kali terakhir diadakan pada 2019, pameran LIMA akan diadakan semula selepas 5 tahun iaitu pada 23-27 Mei 2023 dan dijangka menarik sekurang-kurangnya 600 syarikat pempamer membabitkan 20 negara.
LIMA tertunda sejak tahun 2021 disebabkan pandemik COVID-19 dan keputusan supaya ia dapat dianjurkan kembali ialah berdasarkan kejayaan penganjuran Defence Services Asia (DSA) pada Mac lalu serta kebersediaan negara selepas memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.
Mengambil kira maklum balas semasa yang Malaysia terima dari rakan antarabangsa setakat ini, dijangka berlaku peningkatan seterusnya berpotensi menjadikan jumlah pempamer, astaka negara terbabit, pelawat perdagangan dan awam, tetamu serta aset di LIMA 2023 sebagai yang terbesar pernah direkodkan.
Pembaharuan LIMA '23
Yang lebih menarik, terdapat beberapa pembaharuan yang bakal dapat disaksikan pada LIMA '23.
Antaranya, pengenalan segmen pertunjukan dan perlumbaan dron, menampilkan segmen teknologi angkasa, Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Penerbangan, program menyeluruh untuk remaja termasuk berkaitan pendidikan.
Selain itu, ada segmen kerjaya serta pertandingan permainan elektronik (e-Games), segmen wanita dalam pertahanan, segmen keselamatan siber dalam industri penerbangan serta maritim dan semestinya pameran aset serta pertunjukan udara yang terbaik dalam sejarah.
Bagi memastikan kelancaran LIMA kali ini, penganjurannya akan sekali lagi diselaraskan bersama oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan manakala syarikat Alpine Integrated Solution Sdn Bhd pula dilantik sebagai penganjur bersama LIMA 2023.
LIMA edisi kali ini amat dinantikan bukan sahaja oleh Malaysia selaku penganjur, tetapi juga pempamer, delegasi antarabangsa dan orang awam memandangkan kali terakhir ia diadakan pada tahun 2019. Jadi jangan lupa untuk set cuti, penerbangan dan hotel siap-siap. 23-27 Mei 2023 nanti kita berkampung di Langkawi !