Anda sedang mencari tempat baharu untuk membawa anak-anak anda bersiar-siar hujung minggu ini? Mungkin destinasi ini akan memberi penyelesaian kepada anda.
Anda perasan tak kompleks membeli-belah IOI City Mall kini lebih besar setelah pembinaan Fasa 2 dilakukan ? Fasa 2 IOI City Mall ini mempunyai pelbagai tarikan baharu, antaranya adalah IOI City Farm !
IOI City Farm
IOI City Farm adalah ruang edutainment mesra keluarga yang merupakan tarikan serba baharu dan menarik di Lembah Klang. Ia direka bentuk dengan konsep "indoor living planet", atau planet kehidupan dalam ruangan tertutup. 'Ladang' yang berada dalam bangunan ini terdiri daripada 2 aras dan 3 zon yang merentasi ruang seluas 18,000 kaki persegi.
Apa Yang Anda Akan Temukan di IOI City Farm
Secara asasnya, anda akan temui 70 spesies haiwan comel, hidupan marin & tumbuhan. Kesemuanya dikumpulkan di bawah satu tempat. ✨
Walaupun tidak terlalu besar, IOI City Farm cukup menarik dengan pelbagai pameran interaktif yang boleh membuatkan orang dewasa dan kanak-kanak menghabiskan masa berjam-jam untuk berseronok sambil belajar disini.
Ladang ini direka bentuk dengan penglibatan dan nasihat ahli zoologi, aquarist dan ahli botani yang berkelayakan untuk menjadikan tempat ini sebagai destinasi yang menarik dan menyeronokkan untuk semua pelawat, terutamanya kanak-kanak bagi mempelajari tentang dunia alam semula jadi di sekeliling mereka
Tarikan Utama IOI City Farm
Tarikan utama di IOI City Farm adalah 3 zon yang memisahkan kategori pameran iaitu Greenland, Little Rimba, dan juga Freshwater World.
Greenland
Pameran pertama adalah Greenland. Ia dipenuhi dengan kehijauan, hasil gabungan tumbuhan biasa dan eksotik. Antara yang anda boleh temukan disini ialah taman herba menegak (vertical garden), pameran terarium dan ladang bandar (urban farm) dengan akuaponik.
Terdapat juga bahagian pameran serangga (dipamerkan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia), Glocave yang menampilkan seni dinding bercahaya-dalam-gelap, serta beberapa ruang tempat duduk ?
Little Rimba
Little Rimba ialah seksyen kedua di IOI City Farm. Bahagian dengan suhu terkawal ini adalah lokasi pameran pelbagai spesies haiwan dari seluruh dunia.
Anda akan dapat berinteraksi, memegang, dan juga memberi makan kepada beberapa haiwan jinak dan comel seperti arnab gebu, tikus belanda, serta anak ayam dan anak itik.
Selain itu anda boleh temui pelbagai haiwan eksotik dan juga tidak tinggal di Malaysia seperti meerkat,rakun, burung merak, anjing padang rumput, dan kucing Bengal.
Freshwater World
Setelah habis melihat flora & fauna di darat, anda perlu menuruni tangga ke aras bawah untuk memasuki zon seterusnya iaitu Freshwater World.
Ia adalah zon akuarium dengan lebih 50 spesies akuatik air tawar bermula daripada gergasi sungai seperti arapaima Amazon hingga krustasea kecil.
Zon ini juga menempatkan bahagian interaktif seperti kolam boleh sentuh di mana pelawat boleh memberi makan ikan koi, ikan pari dan menangkap ikan gupi (perlu dilepaskan kembali).
Lokasi & Cara Mencari IOI City Farm
Dimanakah lokasi IOI City Farm? IOI City Farm terletak di tingkat 2 IOI City Mall, Putrajaya. Mungkin ada yang masih tertanya-tanya dan musykil mengapa tidak pernah melihat IOI City Farm sebelum ini.
Ini kerana IOI City Farm adalah sebahagian tarikan utama dalam projek pembangunan Fasa 2 IOI CIty Mall. Jadi, IOI City Farm ini masih baharu lagi.
Untuk ke sini, naik lif ke tingkat 2 dan berjalan ke arah Sayap Timur (East Wing). IOI City Farm terletak di antara District 21 dan Wangsa Bowl.
Waktu Operasi & Harga Tiket IOI City Farm
IOI City Farm dibuka kepada lawatan awam setiap hari dari jam 10 pagi sehingga 10 malam bermula 25 Ogos 2022 dengan kadar harga tiket seperti berikut :
Jenis | Hari Minggu | Hujung Minggu |
Dewasa | RM37.00 | RM48.00 |
Kanak-Kanak | RM48.00 | RM58.00 |
Manakala untuk warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU), harga tiket ditetapkan pada kadar harga RM32 setiap hari.
Berapa Lama Masa Boleh Diperuntukkan Untuk Lawatan
Untuk mengeksplorasi sepenuhnya ketiga-tiga zon berbeza di IOI City Mall, anda mungkin perlu memperuntukkan waktu kira-kira 1.5 jam!
Jika anda melancong dengan kanak-kanak, kami mengesyorkan anda memperuntukkan kira-kira 2 jam di sini supaya anda boleh meluangkan masa anda melalui pameran yang berbeza dan mencuba pelbagai aktiviti yang tersedia.