Ni nak tanya orang-orang Penang, pernah tak dengar nama Mutiara Beach Resort? Orang-orang legend atau otai mungkin tau, tapi hat muda-muda tu tak tau la kot noh !
Satu masa dulu, Mutiara Beach Resort adalah salah satu hotel mewah di tepi pantai Teluk Bahang. Mutiara Beach Resort ini telah dibina pada tahun 1987 dan dibuka secara rasmi pada 16 September 1988 sebagai hotel 5 bintang pertama di Pulau Pinang.
Resort ini mempunyai 438 bilik hotel dan bilangan kakitangan sebanyak 1,500. Antara tetamu terkenal di sini ialah Sultan Selangor serta bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir. Pada masa itu, Mutiara Resort Pulau Pinang adalah salah satu hotel paling mewah di Asia tau ! Kiranya reputasi dan sejarah hotel ini bukan biasa-biasa.
Pada 27 Mac 2006, hotel ini telah ditutup untuk tujuan pengubahsuaian. Pada mulanya, mengikut jadual ia akan dibuka semula pada 2008, namun ditangguhkan hingga 2009. Tup Tup lepas 2009 pun akhirnya bangunan hotel tersebut masih belum selesai renovasi dan ditinggalkan.
Tak pasti masalah apa yang melanda kepada hotel ini atau pemiliknya, mungkin faktor kewangan yang meruncing dan sebagainya. Dah masuk 2022, kira-kira 16 tahun jugalah hotel ini terbiar.
Bakal Dijenamakan Semula
Tapi sekarang ada lah berita baiknya, IHG Hotels & Resorts, salah satu rangkaian hotel mewah terbesar di dunia, dan Tradewinds Corporation Berhad, iaitu pemilik Penang Mutiara Beach Resort, telah menandatangani perjanjian untuk membaik pulih resort tersebut . Ia akan dibuka semula pada 2025 dengan nama baharu iaitu InterContinental Penang Resort.
Menurut Serena Lim, Naib Presiden, Pembangunan, Asia Tenggara dan Korea, IHG: "Kami tidak sabar untuk membawa jenama hotel mewah antarabangsa pertama dan terbesar di dunia ke bandar kedua terbesar di Malaysia dengan InterContinental Penang Resort."
InterContinental Penang Resort akan menampilkan 355 bilik dan suite, sehingga tiga bilik tidur, dan enklaf peribadi yang mempunyai 6 villa.
Selain itu, terdapat juga perkampungan kesihatan holistik (wellnes village) yang akan menempatkan 10 villa rawatan, studio yoga dan kawasan bersantai.
Dengan pembukaan ini, ia akan menjadi Resort InterContinental kedua di Malaysia, selepas InterContinental Kuala Lumpur.
Kami memang menyambut baik berita ini mengenangkan hotel ini memang mempunyai sejarah yang besar. Bukan hotel 5 bintang biasa. Kami nampak Tradewinds Corp juga seperti nak mula langkah baru dalam industri perhotelan. Baru-baru ini, Tradewinds Corp juga mengumumkan bahawa mereka akan membawa jenama mewah di bawah kumpulan Hilton, iaitu Waldorf Astoria ke Kuala Lumpur. Baca lanjut disini :
HOTEL ISTANA BAKAL DIROBOH ! WALDORF ASTORIA AKAN MUNCUL DI KL BERMULA 2024 !