HalalXPlorer Logo
tips berjimat sewaktu berada di lapangan terbang
22 August 2023

10 Cara Berjimat Di Lapangan Terbang Sewaktu Pergi Bercuti

Kongsikan:

Setelah berusaha merancang suatu percutian yang sempurna pada harga yang sesuai dengan bajet, anda mungkin terpaksa menanggung pelbagai kos tambahan yang tidak dijangka di lapangan terbang. Berikut merupakan 10 cara untuk berjimat di lapangan terbang sebelum memulakan perjalanan anda dengan lancar dan baik.

1. Kurangkan Kos Perjalanan ke Lapangan Terbang

Kos perjalanan ke lapangan terbang boleh menjadi sangat tinggi, terutamanya apabila anda membawa bersama beberapa buah bagasi. Anda pasti merasa kurang gembira apabila terpaksa menanggung kos yang sangat tinggi untuk pulang ke rumah setelah menikmati suatu percutian yang indah atau suatu perjalanan perniagaan yang memenatkan. Ini merupakan pengalaman yang tidak menyeronokkan sebelum anda kembali memulakan rutin harian anda!

Jawapan kepada masalah ini ada pada penggunaan kad kredit perjalanan yang baik. Jika bijak membuat pilihan, anda bukan sahaja dapat menikmati perjalanan pulang dari KLIA secara percuma, tetapi juga perkhidmatan layanan tetamu dan limousin percuma, kemasukan percuma ke Bilik Rehat Premium, dan keutamaan membuat tempahan di hotel-hotel mewah seluruh dunia. Maka, buatlah pilihan yang bijak! Anda harus meneliti sebaik mungkin ketika membandingkan pakej kad kredit perjalanan yang ditawarkan oleh pelbagai bank yang berbeza.

2. Tempah Awal Parkir Kereta

Parkir kereta mungkin mahal, tidak kiralah untuk tempoh lama atau sekejap. Seeloknya anda buat rancangan yang teratur dan parkir sahaja di Terminal Bersepadu Selatan pada harga RM4.00 sehari untuk sebuah kereta. Walaupun dari situ anda perlu menaiki bas untuk ke lapangan terbang, fikirkan kos yang dapat anda jimatkan berbanding parkir di tempat letak kereta lapangan terbang yang berharga RM46.00 untuk tempoh 24 jam sahaja.

Fikirkan juga kos yang dapat dijimatkan jika anda berjaya merancang perjalanan dari awal. Sekiranya anda parkir kereta untuk tempoh yang lama (4 hari minimum), anda masih perlu membayar RM144.00 berserta RM15.00 bayaran tambahan setiap hari. Seeloknya sebelum bertolak ke lapangan terbang, kami cadangkan anda menelefon Terminal Bersepadu Selatan dahulu untuk memastikan sama ada anda boleh meninggalkan kereta di sana untuk tempoh yang diperlukan.

3. Periksa Terminal Anda

Walaupun bercuti merupakan pengalaman yang menyeronokkan, berjaga-jagalah kerana keseronokan itu mungkin akan rosak jika anda terlupa beberapa perkara penting yang kelihatan kecil. Terdapat dua terminal di Kuala Lumpur iaitu KLIA 1 dan KLIA 2. Perjalanan di antara kedua-dua terminal ini mengambil masa lebih kurang 3 minit. Mungkin anda pergi ke terminal yang salah apabila asyik dengan aktiviti membeli-belah atau disibukkan dengan anak-anak. Pastikan anda tahu terminal anda sebelum bertolak ke lapangan terbang supaya tidak membazir masa pada saat-saat terakhir.

4. Lindungi Diri Anda Sepenuhnya Dengan Insurans Perjalanan

Kita tidak pernah dapat menjangkakan apa yang akan berlaku semasa bercuti, walaupun segalanya telah diaturkan sejak awal seperti tempahan tiket dan barang kelengkapan untuk percutian. Cuba bayangkan jika tiba-tiba syarikat penerbangan kehilangan bagasi anda atau penerbangan anda ditangguhkan? Ataupun yang lebih buruk lagi anda jatuh sakit di luar negara dan servis perubatan sangat mahal!

Justeru, jangan bercuti tanpa sebarang perlindungan daripada insurans kerana diri anda sangat berharga. Pelan perlindungan perjalanan penting untuk membantu anda mendapatkan diskaun penjagaan kesihatan dan perlindungan untuk sebarang kesulitan semasa perjalanan. Dengan insurans, anda akan dilindungi daripada sebarang kejadian buruk yang tidak diingini!

5. Alas Perut Sebelum Keluar – Bawa Snek Bersama!

Makanan di lapangan terbang dan restoran biasanya mahal, jadi lebih baik alas perut sebelum bertolak (terutama sekali apabila anda mempunyai anak yang sering lapar). Anda boleh membawa bekalan makanan ringan dari rumah ke lapangan terbang.

Walaupun sebarang cecair atau minuman tidak dibenarkan dibawa masuk melepasi pintu keselamatan, anda masih boleh menikmati minuman sebelum anda masuk ke balai berlepas. Kebanyakan lapangan terbang menyediakan kemudahan bekalan air secara percuma untuk orang awam jadi anda hanya perlu sediakan botol kosong sahaja.

6. Bersiap Sedia Untuk Pemeriksaan Keselamatan

Sudahlah anda terpaksa beratur panjang menunggu giliran untuk tujuan pemeriksaan keselamatan, kemudian anda terpaksa pula menunggu orang di hadapan anda selesai mengeluarkan semua barangannya untuk diperiksa! Ada lapangan terbang di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan laluan pantas tetapi setiap orang akan dikenakan bayaran. Oleh itu, sila beratur awal untuk pemeriksaan keselamatan dan bawa bersama beg plastik yang boleh ditutup semula dari rumah untuk menyimpan cecair. Ini kerana ada lapangan terbang di negara lain yang mengenakan caj sehingga £1 untuk setiap beg.

7. Elakkan Daripada Menukar Wang Di Lapangan Terbang

Jangan buat pertukaran mata wang di lapangan terbang walaupun kadar pertukarannya diiklankan sebagai ‘Tiada Yuran Tambahan’ kerana sebenarnya kadar pertukaran yang anda peroleh tidak sebagus di luar sana. Lapangan terbang tahu bahawa anda dalam keadaan terdesak kerana tiada pilihan lain. Terdapat banyak pondok perkhidmatan pertukaran wang di Malaysia, maka anda perlu bijak memilih kadar terbaik.

8. Muat Turun Laman Web Sebelum Anda Bertolak

Kebanyakan lapangan terbang masih mengenakan caj untuk Wi-Fi, oleh itu jika anda merancang untuk menyiapkan kerja yang memerlukan internet sementara menunggu waktu penerbangan, mengapa tidak anda muat turun dahulu laman web yang perlu digunakan semasa di rumah, jadi anda dapat membukanya di lapangan terbang tanpa internet tanpa perlu membayar sesen pun.

9. Jangan Melebihi Had Bagasi Anda

Jika anda bercadang membawa bagasi tangan sahaja, pastikan jangan melebihi had bagasi yang dibenarkan sekiranya anda tidak mahu dikenakan bayaran tambahan (sila timbang bagasi anda sebelum bertolak untuk kepastian). Anda pasti kecewa jika tiba-tiba perlu membayar caj lebihan had bagasi sebelum memulakan percutian. Terdapat perkhidmatan perlindungan bagasi di Kuala Lumpur tetapi pastinya bukan percuma. Anda juga perlu mendaftar bagasi lebihan masuk ke kargo, jadi pastikan anda menepati waktu jadual penerbangan.

10. Berhati-hati Di Kedai Bebas Cukai

Anda mungkin akan disogokkan dengan beberapa tawaran hebat di kedai bebas cukai, tetapi usah tertipu kerana harga yang mereka tawarkan tidak begitu kompetitif seperti yang anda fikirkan. Bagus atau tidak sesuatu tawaran itu sebenarnya turut bergantung kepada kadar tukaran wang asing semasa.

Jika anda bercadang untuk membeli barangan mewah seperti arak, barang kemas, atau gajet, pastikan anda kaji dahulu kadar semasa dalam talian dan di kedai-kedai lain. Harga barangan yang ditawarkan di kedai bebas cukai tidak selalunya murah. Anda boleh selidik dahulu harga barangan di kedai bebas cukai di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

Kategori, Tag dan Negeri
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

PILIHAN PEMBACA