Perak mengambil langkah proaktif membangunkan dan merancakkan kembali industri pelancongan negeri yang terjejas susulan penularan wabak COVID-19 dengan memperkenalkan ‘Baucer #TravelPerakLah’.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata baucar berkenaan adalah untuk para pengunjung atau pelancong mendapatkan potongan harga bagi hotel serta produk pelancongan terpilih seluruh negeri.
"Untuk fasa pertama sebanyak 1,500 keping baucar bernilai RM30 dan RM50 diedarkan kepada penggiat industri yang berdaftar dengan Tourism Perak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Baucer #TravelPerakLah’ di Kellie’s Castle di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Faizal sejak pelancongan domestik dibuka semula pada 10 Jun dan sehingga semalam, sebanyak 2,695 bilik dari 58 hotel di Perak telah ditempah dan ia agak memberangsangkan, namun perlu ditambah.
“Angka ini walaupun menggalakkan ia perlu ditingkatkan dengan segera jika tidak kita akan punyai masalah untuk pengusaha hotel mengekalkan operasi dan pekerja mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata tarikh sah laku baucar fasa pertama adalah dari 1 Julai hingga 30 Nov dan ia boleh ditebus selepas kunjungan kali kedua ke mana-mana hotel atau produk pelancongan yang berdaftar.
“Sekiranya pelancong menempah sebuah bilik hotel yang bernilai minimum RM100 mereka akan menerima baucer bernilai RM50 yang boleh digunakan untuk menginap di mana-mana hotel berdaftar lain atau yang sama pada kunjungan seterusnya,” katanya sambil menambah ia akan diteruskan sehingga tahun hadapan sekiranya mendapat sambutan.
-- BERNAMA