Kalau bercerita berkenaan Kuala Selangor, pasti yang terlintas di fikiran anda adalah Kelip-Kelip di Kampung Kuantan dan juga Bukit Melawati.
Terbaru, ada sebuah lagi mercu tanda dibangunkan di Kuala Selangor iaitu Masjid Raja Lumu, yang berdiri di atas tapak bekas Masjid Lama Kuala Selangor.
Masjid Pekan Lama Kuala Selangor telah melalui proses dinaik taraf dengan kos keseluruhan berjumlah RM10.4 juta dan kini dikenali sebagai Masjid Raja Lumu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut memberi perkenan mengiktiraf masjid yang terletak di kaki Bukit Melawati ini sebagai Masjid Diraja yang kesembilan di negeri Selangor.
Pengiktirafan tersebut menjadikan Masjid Raja Lumu sebagai satu-satunya masjid Diraja di Daerah Kuala Selangor. Pada asalnya masjid ini berstatus Masjid Kariah.
Nama Masjid Raja Lumu dipilih sempena nama Raja Lumu yang merupakan Sultan Selangor pertama, dikenali sebagai Sultan Salehuddin Shah yang memerintah dari tahun 1766 hingga 1782.
Ini sangat bertepatan kerana mengikut catatan sejarah, Raja Lumu ditabalkan sebagai Sultan Selangor di Kuala Selangor dan bersemayam di atas Bukit Malawati yang dahulunya dikenali sebagai Bukit Selangor.
Masjid ini direka bentuk dengan ciri-ciri moden di samping mengekalkan sebahagian struktur masjid asal iaitu ruang solat di bahagian tengah.
Fasiliti disediakan termasuklah bilik dan van jenazah, bilik penyediaan makanan, tandas, bilik golongan kenamaan (VIP), kemudahan orang kurang upaya (OKU) dan fasiliti kemudahan ibadah korban.
Seni bina kubah masjid diperbuat daripada tembaga itu tidak perlu dicat pada masa depan kerana bahannya diimport dari Jerman.
Memang cantik betul masjid ni, jika anda singgah ke Pekan Lama Kuala Selangor, Bukit Melawati dan kawasan sekitar jangan lupa singgah ke Masjid Raja Lumu.