Solat merupakan ibadah yang diwajibkan ke atas semua umat Islam mengikut waktu dan tempoh masa yang ditetapkan.
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan masih ada dalam kalangan umat Islam yang masih lagi keliru atau kurang jelas mengenai cara-cara melaksanakan solat dalam keadaan atau situasi tertentu.
Mengambil contoh bagi anak perantauan yang menghadapi kesesakan teruk untuk pulang ke kampung halaman ketika musim perayaan sehinggakan kawasan hentian rehat & rawat penuh.
Antara persoalan yang sering bermain di fikiran mereka pastinya berkaitan bolehkah seseorang itu melakukan solat fardhu di dalam kereta.
Baru-baru ini, akaun Facebook Mufti Wilayah Persekutuan berkongsi mengenai hukum bahawa solat di dalam kereta dibolehkan untuk menunaikan solat sunat sahaja.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad, adalah perlu untuk semua umat Islam mencari tempat yang lebih selesa untuk menunaikan solat.
“Utamakan solat di tempat yang lebih selesa berbanding di dalam kereta.
“Hendaklah seseorang itu mengelakkan dirinya daripada perbuatan yang dapat menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat melainkan ada rujukan dan hujah para ulama,” katanya.
Jelasnya lagi, ijma’ pada ulama menerangkan bahawa solat di dalam kereta boleh untuk menunaikan solat sunat sahaja.
“Namun, solat fardhu di dalam kereta tanpa ada sebarang keuzuran adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Menurutnya lagi, bagi umat Islam yang berada di dalam kapal terbang dan keretapi, dibolehkan untuk menunaikan solat sunat dan fardhu.
“Dalam isu ini (berada dalam kapal terbang dan keretapi) adalah dibolehkan untuk seseorang itu solat di dalamnya sama ada untuk solat sunat atau fardhu sekalipun.
“Ini mengambil kira tempoh perjalanan yang panjang secara adatnya dengan menaiki kenderaan seperti ini, tambahan pula seseorang itu tidak ada cara untuk turun daripada kenderaan seperti itu semata-mata untuk menunaikan solat melainkan hanya dapat turun apabila sampai ke destinasi,” katanya.