Setiap kali musim cuti musim perayaan, ramai yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Perjalanan yang mengambil masa sekitar 3-4 jam boleh bertukar menjadi 10 jam ataupun lebih.
Selain memenatkan dan menempuh kesesakan yang luar biasa, tandas dan surau juga padat dengan manusia. Adakalanya hendak berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) pun tidak boleh. Semuanya sesak dan padat dengan manusia.
Hal inilah yang membawa kepada tularnya kes beberapa pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak menunaikan solat subuh di tepi lebuh raya semasa pulang menyambut Hari Raya Aidiladha lalu.
Semua kita maklum, solat itu wajib dilaksanakan waima dalam kita bermusafir. Cuma dalam melaksanakannya, satu aspek yang perlu diberi perhatian adalah aspek keselamatan kita. Menjaga nyawa juga adalah salah satu daripada maqasid syariah selain menjaga agama.
Walaupun ramai yang biasa solat dalam kapal terbang tetapi ramai yang kekok apabila nak solat dalam kereta. Terutamanya apabila berhadapan situasi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk seperti hari raya haji lalu.
Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Muhyidin Aziz @ Saari berkata, sifat agama itu adalah memudahkan dan ada jalan keluar bagi segala situasi yang dihadapi.
AIR MINERAL
Sepatutnya dalam waktu kesesakan lalu lintas terutama yang di luar jangka, umat Islam perlu menggunakan rukhsah untuk solat di dalam kenderaan. Ini boleh dilakukan bukan sahaja dalam pesawat udara tetapi juga di dalam bas atau kereta.
Sebagai persediaan, pastikan sentiasa ada sebotol air mineral untuk berwuduk. Walaupun boleh dikerjakan solat tanpa wuduk atau ada yang menyebutnya solat bagi menghormati waktu, ia perlu diqada apabila sampai ke destinasi.
Sedangkan, jika seseorang itu berwuduk terlebih dahulu maka solatnya di dalam kereta itu sudah dikira sempurna dan tidak perlu diganti.
Solat dalam kereta adalah mengikut kemampuan kita. Walaupun dalam mazhab Syafie ia agak ketat antaranya mesti menghadap kiblat semasa takbiratul ihram, ada pandangan lain yang mengharuskan tidak menghadap kiblat.
Takbiratul ihram pun yang rukun adalah mengucapkannya. Mengangkat tangan bukan rukun. Rukuk dan sujud pula ikut kemampuan. Cuma sujud mesti lebih rendah kedudukannya daripada rukuk.
Bab fiqh ini luas, ada pandangan yang ketat dan ada yang longgar. Dalam keadaan darurat seperti kes terperangkap berjam-jam dalam kesesakan lalu lintas dan tidak ada tempat yang sesuai nak berhenti, kita boleh pilih pandangan yang longgar sedikit termasuklah dalam bab solat atas kenderaan,” katanya.
Keharusan solat di atas kenderaan adalah berdasarkan sabda nabi SAW yang bermaksud: Aku pernah melihat Rasulullah SAW dalam keadaan baginda sedang berada di atas haiwan tunggangan.
Baginda bertasbih dengan mengisyaratkan kepala baginda menghadap ke arah yang mana haiwan itu menghadap. Dan tidaklah baginda melakukan perkara sedemikian di dalam solat fardhu. (Riwayat Bukhari)
Berdasarkan keadaan semasa, haiwan tunggangan itu bolehlah dikiaskan kepada kenderaan yang digunakan hari ini seperti kapal terbang, kapal, kereta dan sebagainya.
Sumber : Utusan