Perkhidmatan Transit Aliran Massa Laluan Putrajaya Fasa Dua (MRT2) akan mula beroperasi sepenuhnya pada jam 3 petang 16 Mac 2023 ini.
Laluan pengangkutan awam terbaru itu akan bermula dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral. Ia adalah projek kedua MRT Lembah Klang yang akan memberi manfaat kepada dua juta pengguna dari Kwasa Damansara sehingga ke Putrajaya.
Keseluruhan Laluan Putrajaya akan merangkumi 57.7 km yang terdiri daripada 36 stesen bermula dari Kwasa Damansara ke Putrajaya, meliputi kawasan berkepadatan tinggi seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya, dan Putrajaya.
Laluan ini mempunyai 10 stesen pertukaran dan sambungan di sepanjang jajaran 17 stesen akan mempunyai kemudahan letak kereta dengan jumlah 5,870 ruang parkir.
Projek MRT laluan Putrajaya ini menelan belanja RM30.53 bilion untuk kos pembinaan dan kos sistem meliputi 36 stesen membabitkan 49 set kereta api.
Jumlah penumpang harian bagi perkhidmatan MRT laluan Putrajaya dijangka mampu mencecah kira-kira 200,000 dalam masa dua tahun.
Pada permulaan apabila mula beroperasi akan dimulakan dengan kekerapan lima minit untuk setiap tren.
Sementara menanti operasinya dibuka buat orang awam bermula 16 Mac ini, apa kata kita tengok dulu video rasmi yang dikeluarkan oleh pihak MRTCorp ini :