HalalXPlorer Logo
airasia cambodia
29 January 2023

AirAsia kembali terbang tinggi dengan pelancaran syarikat penerbangan tambang rendah baharu di Kemboja

Kongsikan:

AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), cabang syarikat penerbangan di bawah Capital A Berhad, hari ini menandatangani Perjanjian Usahasama (JV) dengan Sivilai Asia untuk menubuhkan AirAsia Cambodia, syarikat penerbangan tambang rendah baharu di Kemboja.

Syarikat penerbangan baharu itu akan memperkukuh lagi jenama AirAsia di Kemboja dan Indochina, menyediakan akses yang lebih besar kepada pasaran domestiknya dan yang paling penting menghubungkannya ke pasaran antarabangsa di seluruh Asean, Asia Utara dan seterusnya. Syarikat penerbangan baharu ini juga akan membolehkan AAAGL beroperasi ke pelbagai pasaran sedia ada untuk membina skala, ketersambungan rangkaian dan mengurangkan kos operasi. AirAsia Cambodia berhasrat untuk merangsang lagi industri penerbangan di Kemboja, melancarkan destinasi baharu yang menarik dan mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa operasi syarikat penerbangan tambang rendah di negara itu.

Perjanjian Usahasama itu telah ditandatangani oleh Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Vissoth Nam, Pengarah Sivilai Asia di Rosewood Phnom Penh hari ini. Majlis tandatangan itu turut disaksikan dan dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Dr. Mao Havannal, Menteri Sekretariat Penerbangan Awam Negeri; Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL; Subashini Silvadas, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Consulting; serta para tetamu kehormat daripada kerajaan tempatan dan industri.

AirAsia kembali terbang tinggi dengan pelancaran syarikat penerbangan tambang rendah baharu di Kemboja Airasia Cambodia

Tertakluk kepada kelulusan kawal selia yang berkaitan, usahasama tersebut dijangka mula beroperasi pada hujung tahun 2023.

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A berkata: “Capital A sentiasa memberi tumpuan kepada Asean di mana kami mempunyai jenama yang paling kukuh. Kemboja ialah negara Asean kelima di mana kami meneruskan usaha sebagai penyedia perkhidmatan penerbangan penumpang dan kargo nombor satu rantau ini, serta memacu pertumbuhan ekonomi bagi negara-negara Asean. Nilai rangkaian AirAsia adalah aset yang tidak dapat diatasi dan akan membuka peluang yang lebih besar untuk menghubungkan Kemboja ke rantau ini, selain China, India dan Asia Utara.

“Tahun 2022 adalah mengenai kebangkitan semula syarikat penerbangan kami ke tahap pra-Covid yang akan beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2023. Separuh kedua tahun 2023 pula akan menyaksikan kami memberi tumpuan kepada pertumbuhan syarikat. Kami juga yakin dengan keuntungan pada tahun pertama memandangkan Kemboja adalah pasaran tidak asing bagi kami dan di mana kami mempunyai infrastruktur yang lengkap. Itulah sebabnya semua syarikat penerbangan kami pada masa hadapan akan berpangkalan di Asean. Ini kerana ia adalah titik utama kami dan boleh menjana keuntungan dengan cepat, selain menghubungkan rangkaian luas kami ke destinasi utama di Kemboja, iaitu Phnom Penh, Siem Reap dan Sihanoukville.

AirAsia kembali terbang tinggi dengan pelancaran syarikat penerbangan tambang rendah baharu di Kemboja Airasia Cambodia

“Dalam pada kami menyambut ulang tahun ke-21 pada 8 Disember, di mana kami berhasrat untuk merapatkan jurang antara negara-negara Asean - misi kami tetap sama untuk mendemokrasikan perjalanan udara, menghubungkan para tetamu dan destinasi, memberikan nilai terbaik, menyokong sektor pelancongan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Asean. Capital A akan terus memacu pertumbuhan ini dan saya yakin terhadap peluang perkhidmatan di negara ini yang merupakan salah satu ekonomi yang paling dinamik dan pesat berkembang di Asean dalam kedua-dua sektor digital dan penerbangan.” 

Vissoth Nam, Pengarah Sivilai Asia berkata: “Sebagai antara negara pertama yang membuka sekatan perjalanan antarabangsa tanpa kuarantin pada bulan November 2021, Kemboja telah menjadi pemangkin pemulihan perjalanan udara di Asean selepas pandemik, dan diikuti oleh negara-negara lain. Hari ini, kami berbangga untuk melancarkan syarikat penerbangan tambang rendah baharu yang bakal beroperasi di Kemboja.

AirAsia kembali terbang tinggi dengan pelancaran syarikat penerbangan tambang rendah baharu di Kemboja Airasia Cambodia

“Peningkatan ketersambungan rangkaian di samping tambang bernilai terbaik, pastinya akan merangsang permintaan perjalanan udara di kalangan rakyat tempatan. Peningkatan pilihan syarikat penerbangan dan destinasi juga dijangka akan membuka peluang kepada para pelajar ke luar negara, menyokong perjalanan berkaitan pekerjaan, meningkatkan hubungan perdagangan, memacu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana baharu.

“Ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan daripada kerajaan tempatan dan rakan industri pelancongan kami di Kemboja, pihak berkuasa yang berkaitan dan AAAGL. Kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan mereka dalam menjadikan AirAsia Kemboja satu realiti dan memberi peluang kepada kami untuk menyumbang kepada strategi kerajaan dalam mengembangkan lagi ketersambungan dan mempromosikan sektor pelancongan di rantau ini. Kami tidak sabar untuk menghubungkan rakyat Kemboja ke seluruh Asean dan seterusnya tidak lama lagi.”

Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL berkata penubuhan usahasama di Kemboja adalah langkah semula jadi bagi Kumpulan itu. Ini kerana AAAGL ialah syarikat penerbangan asing terbesar dan kumpulan syarikat penerbangan kedua terbesar secara keseluruhannya yang beroperasi ke Kemboja dari segi kapasiti. Pra-pandemik, AirAsia mengendalikan 92 penerbangan mingguan dari Malaysia dan Thailand ke negara itu. Kini, ia beroperasi kira-kira 47 penerbangan mingguan ke Kemboja.

“Usahasama di Kemboja ini adalah selaras dengan strategi pengembangan kami di Asean. Kami merancang untuk mengendalikan penerbangan dari dan ke laluan sedia ada dalam lingkungan empat jam dari Kemboja. AirAsia Cambodia akan meningkatkan ketersambungan rangkaian kami di negara ini dan kami turut merancang untuk melancarkan perkhidmatan baharu ke Asean, Asia Utara dan lain-lain pada masa hadapan.

“Ini adalah bukti kejayaan kerjasama antara AAAGL dan Sivilai Asia. Kami teruja dengan prospek untuk terus menawarkan sambungan rangkaian, pengalaman perjalanan, dan kemudahan perjalanan udara dengan nilai terbaik di negara ketujuh terbesar di Asean pada tahun hadapan.”

AAAGL mengendalikan lima laluan ke Kemboja dari Kuala Lumpur ke Siem Reap dan Phnom Penh, dari Pulau Pinang ke Phnom Penh (bermula 23 Januari 2023) serta dari Bangkok (Don Mueang) ke Siem Reap dan Phnom Penh. Sejak memasuki pasaran Kemboja pada tahun 2005, AirAsia telah membawa lebih 10 juta tetamu ke dan dari negara itu.

Kategori, Tag dan Negeri
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

PILIHAN PEMBACA