Untuk para penggemar sukan udara, inilah peluang yang tak patut dilepaskan! Festival Udara Taiping 2024 (FUT 2024) bakal berlangsung dari 19 hingga 22 Disember 2024, setiap hari dari jam 8 pagi hingga 11 malam di Lapangan Terbang Tekah, Taiping.
Acara ini bertujuan untuk memperkenalkan lebih banyak tentang sukan udara kepada orang ramai di seluruh Malaysia.
Antara aktiviti yang menarik bakal diadakan termasuklah Aircraft Fly-In & Pameran Kapal Terbang Statik, Microlight Joyride, paramotor, drone, dan banyak lagi!
Selain itu, terdapat juga aktiviti lain seperti payung terjun, festival makanan, zumba senamrobik, sukaneka, dan pertandingan kapal terbang kertas.
Acara ini dianjurkan oleh Kelab Sukan Udara Taiping (KESUT) dengan kerjasama beberapa pihak seperti Majlis Perbandaran Taiping, Flytrike Sdn Bhd, dan Persekutuan Udara Malaysia.
Untuk pengetahuan, FUT 2024 juga merupakan acara julung kali diadakan di Taiping yang menggabungkan sukan udara dengan sejarah bandar ini.
Selain mempromosikan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024, festival ini turut menjadi sambutan ulang tahun ke-150 Taiping sebagai Bandar Bersejarah.
Acara ini bukan sahaja menarik minat peminat sukan udara, tetapi juga mereka yang meminati kebudayaan dan koleksi kereta klasik.
Acara ini dijangka akan menarik lebih daripada 10,000 pengunjung dari seluruh dunia.
Lapangan Terbang Tekah, yang merupakan lapangan terbang pertama dibangunkan di Malaysia pada tahun 1929, akan menjadi lokasi penuh nostalgia bagi acara ini.
Meskipun terbiar sejak lama, pihak penganjur berhasrat untuk menghidupkan semula lapangan terbang bersejarah ini.
Berita baiknya, masuk adalah percuma! Jadi, jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman yang luar biasa di Festival Udara Taiping 2024!