Sebenarnya, kami pelik bila terfikir. Kenapa ya, jarang orang kita sebut pasal 'Taiwan'? Jarang yang bercerita berkenaan Taiwan, dan pasti lagi ramai yang 'skip' Taiwan bila travel. Ramai dah pergi ke Jepun, Korea, Hong Kong tapi tinggalkan Taiwan yang berada di sekitar situ jugak . Pelik kan, kenapa ya ? Kami tak bercakap kosong ya, semuanya dengan fakta. Di tahun 2022, data kemasukan pelancong ke Taiwan hanya 59,035 orang saja !
Baru-baru ini kami bersama rakan media ke Taiwan dalam satu lawatan bersempena dengan 'Taiwan Lantern Festival 2024', yang berlangsung di Tainan, Taiwan. Alang-alang itu, kami sempat juga meneroka sisi-sisi indah negara pulau di Asia Timur ini.
Bila kami sampai, lagi kami terkejut sebab sebenarnya Taiwan ni betul-betul best ! Jadi, kali ini kami nak kongsikan destinasi-destinasi menarik yang kami kunjungi semasa berada di Taiwan !
Kaohsiung
Berikut adalah tempat-tempat menarik yang kami kunjungi semasa berada di Kaohsiung.
Destinasi 1 : Kaohsiung i-Ride
Kaohsiung i-Ride ini adalah sebuah teater 5D yang membawa pengunjung untuk meneroka dan menjelajah pelbagai tempat menarik di Taiwan secara maya !
Pengalaman menjelajah secara maya ini amat luar biasa dan tak sama seperti kita menonton televisyen dan sebagainya kerana ia dilengkapi dengan teknologi yang cukup hebat ! Pengunjung akan duduk di kerusi tergantung dan menghadap skrin bersaiz 20 meter yang membuatkan pemandangan anda seolah realiti !
Panggung ini juga dilengkapi teknologi multi-deria di mana ia mengeluarkan bau-bau tertentu, audio yang hebat, angin, serta air.
Kami tidak dibenarkan untuk membuat rakaman ketika di dalam dewan teater. Namun, anda boleh tonton video dari Brogent Technologies untuk mendapat gambaran lebih jelas berkenaan i-Ride.
Serius kami kata, pengalaman ini cukup menarik dan anda wajib ke i-Ride apabila ke Taiwan ! Mengikut penerangan staff disana, mereka mempunyai cawangan di Taipei juga namun Kaohsiung adalah cawangan utama mereka.
- Alamat : No. 9號, Fusing 4th Rd, Cianjhen District, Kaohsiung City, Taiwan 806
- Pautan Lokasi : Klik Di Sini
- Laman Web : https://www.iridekaohsiung.com/en-US
- Harga Tiket : NT$ 680 ~ RM101
Destinasi 2 : Pier 2
Kami bersiar-siar di sekitar Love Pier, Glory Pier dan juga Pier 2 Art Centre. Sambil menikmati indah dah tenangnya Bandar Kaohsiung, kami masih lagi menghirup udara yang segar disini.
Kawasan di sekitar sini amat ikonik, bersejarah dan cantik. Antara bangunan ikonik adalah Kaohsiung Music Centre dan Great Harbour Bridge yang boleh berputar bagi memberi laluan buat kapal.
Pier 2 Art Centre pula pada umumnya cukup bersejarah kerana tapak ini pada asalnya adalah gudang semasa zaman pendudukan Jepun di Taiwan. Bangunan tersebut masih lagi kekal dan diubah kegunaan menjadi kafe, kedai dan sebagainya.
- Alamat : No. 31號, Haibian Rd, Lingya District, Kaohsiung City, Taiwan 802
- Pautan Lokasi : Klik Di Sini
Destinasi 3 : Chen Lili Indonesian Restaurant
Makan malam pertama kami adalah di sebuah restoran masakan Indonesia yang terletak di Kaohsiung iaitu Chen Lili Indonesian Restaurant.
Rupanya restoran ini terkenal juga, ramai pengunjung dari Indonesia dan Malaysia datang untuk menjamu selera ke sini. Buktinya ? Dinding-dinding di restoran ini dipenuhi dengan autograf pengunjung mereka. Salah seorangnya adalah Ayda Jebat !
Kami tak tahu sangat nama masakan dan lauk pauk yang dipesan, kami tau makan je. Tapi sangat sedapp, memang licinlah kami makan kesemuanya. Alhamdulillah !
Selain menghidangkan makanan yang Halal dan sedap, mereka juga menyediakan ruang untuk solat di tingkat atas tetapi ianya tidak besar. Boleh muat 2 orang pada satu masa. Jadi, jika anda datang ke sini, anda boleh menumpang untuk solat juga. Ini lokasinya :
- Alamat : No. 276號, Wufu 4th Rd, Yancheng District, Kaohsiung City, Taiwan 803
- Pautan Lokasi : Klik Di Sini
- Status Halal : Halal
Destinasi 4 : CHATEAU de CHINE Kaohsiung
- Alamat : No. 43號, Daren Rd, Yancheng District, Kaohsiung City, Taiwan 80341
- Pautan Lokasi : Klik Di Sini
- Laman Web : https://kaohsiung.chateaudechine.com/en/index
- Status Halal : Mesra Muslim
Semasa di Kaohsiung, kami menginap di CHATEAU de CHINE Kaohsiung. Kenapa kami masukkan ia sebagai destinasi menarik ? Sebab Hotel ini mesra Muslim, bertaraf 4 bintang tapi bagi kami ia sangat-sangat mewah ! Cuba tengok bilik ni !
Hotel ini merupakan Hotel Mesra Muslim dan diiktiraf sebagai salah satu destinasi 'Muslim Friendly Tourism' oleh 'The Chinese Muslim Association'.
Antara inisiatif pihak hotel bagi melayan tetamu Muslim adalah mereka menyediakan arah kiblat, jadual waktu solat dan sejadah di dalam bilik penginapan. Selain itu, mereka juga menyediakan menu makanan yang mesra muslim pada waktu sarapan.
Ruangan tandas juga amat mewah dan buat kami ternganga ! Rasanya cukup nikmat jika dapat berendam di dalam tab mandi yang disediakan, tambah-tambah pula apabila keletihan setelah berjalan seharian.
Destinasi 5 : Cijin
Cijin ialah pulau sepanjang 8.5 Kilometer. Saiznya yang tidak terlalu besar membuatkan satu kenderaan dinamakan 'four wheelers' cukup popular dan sering digunakan pelancong bagi bersiar-siar di tempat-tempat menarik sekitar Cijin.
Jika anda bercadang untuk menggunakan kenderaan 'Four Wheelers' ini, anda boleh lihat deretan 'four wheelers' diletakkan berhadapan dengan terminal feri di Cijin.
Sebenarnya, Cijin adalah antara pusat tumpuan awal Kaohsiung pada zaman dahulu. Jadi, tak hairanlah pulau kecil ini mempunyai pelbagai tapak sejarah.
Antara kawasan bersejarah di Cijin adalah Kaohsiung Lighthouse yang dibina pada 1883 dan Cihou Fort yang dibina pada 1720 di Mount Cihou semasa Taiwan berada di bawah pemerintahan Dinasti Qing !
Nak mendaki ke tapak-tapak bersejarah ini boleh tahan mencabar juga, tapi bila anda sampai ke puncak, kepenatan anda pasti terubat apabila anda dihidangkan dengan pemandangan Cijin dan Pier 2 Kaohsiung yang sangat memukau !
Antara tempat lain yang menarik di Cijin adalah pantai dan pemandangan lautnya. Salah satu laluan untuk melihat pemandangan laut adalah melalui Tunnel of Stars yang dibina semasa zaman penjajahan Jepun, dan dahulunya digunakan oleh tentera.
Terowong ini melalui bahagian bawah Mount Cihou, sebaik sahaja anda melepasi terowong ini, anda akan disajikan dengan pemandangan tebing dan laut biru yang cukup mempesona !
Destinasi 6 : Masjid Kaohsiung
Kami menunaikan solat di Masjid Kaohsiung. Masjid yang kedua terbesar di Taiwan ini dibina pada 1990 dan terdiri dari 3 tingkat.
Tingkat pertama menempatkan asrama lelaki dan perempuan, ruang solat muslimah serta pusat aktiviti wanita. Tingkat kedua pula menempatkan dewan solat utama, pusat pembelajaran bahasa arab dan juga bilik pameran kebudayaan islam. Tingkat ketiga menempatkan bilik tetamu, pusat aktiviti belia, pejabat serta dapur.
Masjid ini juga mempunyai perpustakaan, pejabat imam, pejabat pentadbiran. Senang cerita masjid ini memang berfungsi penuh dan melebihi dari sekadar rumah ibadat.
- Alamat : No. 11號, Jianjun Rd, Lingya District, Kaohsiung City, Taiwan 80285
- Pautan Lokasi : Klik disini
Destinasi 7 : Kaohsiung Halal Restaurant
Bersebalah dengan Masjid Kaohsiung adalah satu restoran makanan halal iaitu 'Kaohsiung Halal Restaurant' . Restoran ini menyediakan menu yang berasaskan daging !
- Alamat : No. 13號, Jianjun Rd, Lingya District, Kaohsiung City, Taiwan 802
- Pautan Lokasi : Klik Disini
- Status Halal : Halal & Dimiliki Muslim
Tainan
Destinasi 8 : Hotel Queena Plaza Tainan
Semasa berada di Tainan, kami menginap di Queena Plaza Tainan. Sebuah hotel yang bertaraf 5 bintang.
Hotel Queena Plaza juga merupakan salah satu hotel mesra Muslim yang menyediakan sejadah dan takwim solat di dalam bilik. Mereka juga menyediakan menu yang sesuai untuk Muslim.
- Alamat : No. 99號, Yong'an 1st St, Yongkang District, Tainan City, Taiwan 710
- Pautan Lokasi : Klik Disini
- Laman Web : https://www.tainan.queenaplaza.com/en/
- Status : Mesra Muslim
- Taraf : 5 Bintang
Destinasi 9 : Turkey Private Chef Kitchen
Sesuai namanya, restoran ini menyediakan makanan dari Turki. Rasanya memang asli kerana ia diusahakan oleh orang Turki yang menetap disini.
Namun, yang paling mengujakan kami adalah restoran Turki disini turut menyediakan nasi dan lauk-pauk dengan selera Asia Timur, berbeza dengan restoran Turki yang kami pernah pergi sebelum ini yang hanya menyediakan menu berasaskan roti. Mungkin menu-menu yang berkonsepkan nasi dan lauk-pauk dibuat disebabkan asimilasi budaya yang berlaku.
- Alamat : No. 131, Kaishan Rd, West Central District, Tainan City, Taiwan 700
- Pautan Lokasi : Klik Disini
- Status Halal : Halal
Destinasi 10 : Ten Drum Cultural Village
Lokasi ini sangat unik kerana Ten Drum Culture Village dengan keluasan kira-kira 7.5 hektar, satu ketika dahulu merupakan 22 gudang gula lama yang dibina semasa Zaman Penjajahan Jepun.
Pada tahun 2005 ia telah digunakan semula. Melalui perancangan yang teliti, nafas baru telah diberikan kepada kilang gula berusia berabad-abad yang tidak digunakan ini.
Taman ini menggabungkan muzik gendang Taiwan yang inovatif dari Ten Drum Band. Pada waktu malam, Ten Drum Culture Village menjadi taman yang diterangi cahaya.
Taman ini juga mempunyai gelongsor setinggi lima tingkat, zipline, bungee jump dan pelbagai lagi. Penambahan terbaru, terjunan bebas setinggi 7 tingkat yang menarik pelancong yang mencari keseronokan.
- Alamat : No. 326號, Section 2, Wenhua Rd, Rende District, Tainan City, Taiwan 71755
- Pautan Lokasi : Klik Disini
- Laman Web : https://tendrum.com.tw/
- Harga Tiket : NT$469 ~ RM70
Destinasi 11 : Anping Canal Cruise
Anping digelar bak kota Purba disebabkan kota ini adalah kota terawal yang dibangunkan di Taiwan dan Tainan juga pernah menjadi ibu negara semasa Dinasti Qing.
Salah satu cara terbaik meneroka kota purba ini adalah dengan menelusuri terusan utama di Jalan Huanhe sehingga ke Jambatan An-Yi di mana pengunjung boleh melihat pemandangan bandar bersejarah ini di sepanjang terusan.
Pengunjung dibawa dengan bot untuk bersiar-siar, lebih menarik perjalanan anda akan ditemani dengan bunyi muzik langsung yang dimainkan oleh krew !
Pemandu pelancong turut bersama untuk menerangkan mengenai bangunan atau monumen ikonik sepanjang terusan namun beliau bertutur dalam bahasa Mandarin.
Destinasi 12 : Mama Mia Resto
Untuk makan malam, kami singgah ke sebuah rumah makan Mama Mia Resto yang diusahakan oleh orang Indonesia Tainan.
Rumah makan ini agak kecil namun mereka menyediakan makanan yang amat sedap ! Sampai ke hari ini kami masih teringat-ingat menu yang dihidangkan kepada kami !
- Alamat : No. 192號, Section 1, Zhonghua W Rd, South District, Tainan City, Taiwan 702
- Pautan Lokasi : Klik Disini
- Status Halal : Halal
Taipei
Berikut adalah destinasi yang kami kunjungi semasa berada di Taipei.
Destinasi 13 : Halal Beef Noodle House
Beef Noodle ni memang ada di mana-mana bahagian di seluruh Taiwan. Tetapi, restoran ini menyediakan Beef Noodle yang Halal ! Lokasinya terletak berhampiran Camera Street di Taipei.
Destinasi 14 : Vigor Kobo DIY Pineapple Cake
Kami juga ke sebuah kilang yang membuat pelbagai jenis biskut, namun yang paling terkenal adalah 'pineapple cake' atau bagi kita, ia seperti tart nenas. Selain daripada membeli buah tangan, pengunjung juga dibenarkan mencuba untuk membuat sendiri pineapple cake mereka !
Kami turut tidak melepaskan peluang mencuba sendiri membuat pineapple cake, dan gambar di bawah adalah hasilnya, Tadaaaa !
Vigor Kobo adalah antara perusahaan yang mendapat pengakuan Halal dari badan autoriti disini. Jadi, kami amat sarankan untuk anda berkunjung ke sini bagi mencuba sendiri proses membuat pineapple cake dan juga membeli pineapple cake yang halal disini !
- Alamat : No. 87號, Section 1, Chengtai Rd, Wugu District, New Taipei City, Taiwan 248
- Pautan Lokasi : Klik Disini
- Laman Web : https://www.vigorkobo.com/
- Status Halal : Halal
Destinasi 15 : Saturn Landing Turkish Coffee
Kami minum petang di sebuah kafe dengan menu yang diinspirasikan dari Turki bermula dari kopi sehinggakan manisan Turki. Antara yang ada disini adalah Kunafa serta Baklava !
Kata pemandu pelancong kami, kafe ini tidak menerima pengunjung 'walk-in', jadi anda membuat tempahan dahulu sebelum mengunjungi kafe ini. Beliau sendiri katanya, menempah slot 2 minggu lebih awal.
- Alamat : No. 14-2號, Lane 75, Yongkang St, Da’an District, Taipei City, Taiwan 106
- Pautan Lokasi : Klik Disini
- Status Halal : Mesra Muslim
Destinasi 16 : Gusto Pizza
Tidak melepaskan peluang menerjah sebanyak yang boleh restoran-restoran halal yang ada di Taipei, kami sempat juga merasai Pizza Halal di Gusto Pizza. Ia sebuah kedai kecil yang menyajikan 'woodfire oven handmade pizza'.
- Alamat : No. 74之1號, Lianyun St, Zhongzheng District, Taipei City, Taiwan 100
- Pautan Lokasi : Klik Disini
- Status Halal : Mesra Muslim
Destinasi 17 : Raohe Street Night Market
Masyarakat Taiwan dan juga budaya 'night market' memang tidak dapat dipisahkan, orang kata perjalanan anda tak lengkap jika tidak ke 'night market'. Maka, kami turut bersiar-siar ke salah satu 'night market' paling terkenal di Taipei iaitu Raohe Street Night Market.
Buat pengunjung Muslim, anda boleh melihat pakaian, kasut dan cenderamata yang dijual disini. Namun, jika anda datang untuk mencari makanan, disini bukan tempatnya kerana sangat sedikit gerai yang menjual makanan yang sesuai untuk Muslim.
- Alamat : Raohe St, Songshan District, Taipei City, Taiwan 105
- Pautan Lokasi : Klik Disini
Destinasi 18 : Yangmingshan National Park
Yangmingshan National Park adalah taman negara yang paling terkenal di Taiwan disebabkan lokasinya yang berdekatan Taipei, mempunyai gunung berapi yang masih lagi aktif, dan juga air panas. Keluasan keseluruhan Yangmingshan National Park adalah 11,338 Hektar.
Namun, antara tarikan utama Yangmingshan National Park adalah 'Flower Clock' dengan diameter 22 kaki ! Jika ke Yangmingshan National Park, memang wajib untuk bergambar disini !
- Alamat : 5HV6+M9 湖田里 Taiwan, Taipei City, Beitou District
- Pautan Lokasi : Klik Disini
- Laman Web : http://www.ymsnp.gov.tw/
Destinasi 19 : Kunming Islamic Restaurant
Jika anda mencari restoran makanan halal mengikut tekak orang Malaysia, kami sarankan di sini ! Selain daripada menghidangkan nasi dan lauk-pauk, mereka juga mempunyai menu 'Teh Tarik' Ala Malaysia ! Memang benar-benar mengubat kerinduan pada tanah air.
- Alamat : No. 26號, Lane 81, Fuxing N Rd, Songshan District, Taipei City, Taiwan 105
- Pautan Lokasi : Klik Disini
- Status Halal : Halal
Destinasi 20 : Taipei Grand Hotel
Kami ke sebuah hotel yang terulung di Taiwan iaitu Taipei Grand Hotel. Ia merupakan hotel pertama yang dibina di Taiwan bagi menerima tetamu besar dan VIP yang hadir ke negara itu.
Hotel setinggi 14 tingkat ini mempunyai 487 bilik dan pernah menerima ramai pemimpin besar dunia dan selebriti. Antaranya adalah Mohammad Reza Pahlavi, bekas pemimpin Iran yang merupakan tetamu VIP pertama hotel tersebut dan Lee Kuan Yew yang merupakan tetamu VIP dengan kunjungan terbanyak ke hotel tersebut.
Disebabkan hotel ini menerima kehadiran ramai pembesar, maka tidak hairanlah jika di dalamnya terdapat terowong kecemasan rahsia ! Terowong tersebut dibina sebagai jalan keluar yang mudah jika sesuatu tidak diingini berlaku.
Sejak 2018, terowong tersebut dibuka untuk lawatan orang ramai. Jadi, walaupun tidak menginap disini, anda boleh datang untuk membuat lawatan di sekitar hotel ini !
- Alamat : No. 1號, Section 4, Zhongshan N Rd, Zhongshan District, Taipei City, Taiwan 10427
- Pautan Lokasi : Klik Disini
- Laman Web : https://www.grand-hotel.org/EN/official/main.aspx
Destinasi 21 : Taipei 101
Kami singgah ke bangunan paling ikonik dan mercu tanda bagi negara Taiwan iaitu bangunan Taipei 101. Bangunan ini pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia memintas Menara Berkembar Petronas pada tahun 2004. Namun, pada tahun 2009 ia dipintas oleh bangunan Burj Khalifa.
Bagaimanapun, rakyat Taiwan masih lagi boleh berbangga kerana bangunan ini adalah bangunan pertama di dunia yang melebihi ketinggian 500 meter. Sehingga 2023, bangunan Taipei 101 adalah bangunan ke-11 tertinggi di dunia.
- Alamat : No. 7, Section 5, Xinyi Rd, Xinyi District, Taipei City, Taiwan 110
- Peta Lokasi : Klik Disini
- Laman Web : https://www.taipei-101.com.tw/en/
Destinasi 22 : Masala Art
Restoran Masala Art merupakan destinasi terakhir kami di Taiwan sebelum kami berangkat pulang ke Malaysia. Kami ke sini untuk menikmati hidangan tengahari terakhir kami. Restoran yang terletak di Taipei Expo Park ini menyediakan makanan India yang halal. Memang sedap !
- Alamat : No. 1號, Yumen St, Zhongshan District, Taipei City, Taiwan 10491
- Pautan Lokasi : Klik Disini
- Status Halal : Mesra Muslim