Program Keretapi Sarong merupakan program “flash mob” di mana orang ramai berkumpul dan bersama-sama meraikan Hari Malaysia dengan menggunakan rangkaian perkhidmatan kereta api awam seperti Prasarana, MRT, KTM, ERL serta MAB dan melalui satu set laluan terpilih sambil mengenakan pakaian Sarong.
Pemilihan Sarong sebagai tema kempen kerana budaya pemakaian kain sarung merupakan warisan budaya yang dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Pengisian
- Seni@Train
- Peragaan Busana / Fesyen sarong
- Pertandingan (Best Dress, Best Photo, Best Video)
- Pameran dan Demonstrasi
- Jualan Produk/ Food Truck
- Persembahan kesenian
- Joget Lambak / nyanyian beramai-ramai / berbalas pantun (sewaktu berjalan kaki ke lokasi terakhir)
Keretapi Sarong 2024
Kini, Keretapi Sarong akan kembali lagi untuk edisi ke-8! Keretapi Sarong 2024 (KS24) membawakan tema “Bangga Malaysia” akan berlangsung pada 14 September 2024 di suatu lokasi ‘rahsia’.
Tema pada tahun ini adalah Bangga Malaysia (Proud Malaysia) yang mengangkat kelebihan jenama tempatan luar biasa yang membentuk identiti kolektif masyarakat. Ia bertujuan membawa ciri khas Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi untuk menghargai jenama sekali gus mengiktiraf peranan mereka dalam membentuk identiti Malaysia dan mempamerkan potensi komersial budaya di peringkat nasional dan juga antarabangsa.
program berkenaan itu dijangka mencapai tahap baharu berkat kerjasama yang tidak ternilai daripada rakan strategik utama, penaja serta bersama sokongan padu daripada lebih 40 rakan strategik.
Antaranya seperti Prasarana, ERL, AirAsia, Hotlink, Siti Khadijah, jenama minuman HAUSBOOM, Bulan Bintang dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Selain itu, kejayaan KS2024 turut diperkuatkan oleh penyertaan aktif rakan komuniti seperti Infinix, UiTM Melaka, TGV Cinemas, Gardenia, dan Hi Lighter Studio, Malaysia Fashion Creativity Award.
Tak cukup dengan itu, KS2024 akan dimeriahkan lagi dengan penampilan istimewa Noraniza Idris, artis tradisional terkenal yang minat mendalamnya terhadap seni muzik etnik kreatif selaras dengan mood dan suasana acara.
Senarai Stesen Mula Keretapi Sarong 2024
Seperti edisi sebelumnya, flash mob ini akan turut disertai komuniti lokal dan setempat di pelbagai bandar dan stesen di seluruh Malaysia, termasuk Subang Jaya, Putrajaya Sentral, Gombak, KL Sentral, Kajang, Ampang, TTDI, UPM dan Sri Damansara Sentral.
Keretapi Sarong 2024 Di Luar Lembah Klang
Selain acara utama di Lembah Klang, flash mob serentak juga akan rancak berlangsung di lokasi terpilih seperti Johor Bahru, Kota Bharu, Ipoh, Bukit Mertajam, Alor Setar, malah di kota Paris dan Berlin yang menonjolkan jangkauan global dan daya tarikan unik sambutan khas Malaysia ini.
Jadi, kita jumpa disana okay? Korang gerak dari Stesen Mula yang mana? Jom cari geng sekarang !