Rimba Herba Perlis merangkumi kawasan seluas 12 ha dan terletak dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Bintang. Rimba Herba Perlis ditubuhkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis pada tahun 1998 dan dibuka kepada orang awam pada tahun 1999.
Rimba Herba Perlis kini berfungsi sebagai “Muzium Etnobotani” dan bank genetik bagi kebanyakan sumber tumbuhan herba yang boleh didapati di negara ini. Antara lain tujuan penubuhan Rimba Herba Perlis ini adalah untuk memperkenalkan tumbuhan tempatan yang mempunyai nilai perubatan kepada masyarakat setempat.
Koleksi tumbuhan yang terdapat Rimba Herba Perlis terdiri dari tumbuhan liar yang sedia ada di taman ini (in-situ), tumbuh-tumbuhan ubatan yang didatangkan dari tempat lain (ex-situ) dan tumbuh-tumbuhan ubatan yang berasal dari negara lain yang telah lama diperkenalkan di negeri ini. Koleksi di Rimba Herba telah mencapai 1000 spesies.
Tumbuhan ubatan yang terdapat di sini adalah seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Cekor, Mengkudu, Sehelai Setahun Baldu, Cemumar dan lain-lain lagi. Sesetengah tumbuhan di sini merupakan tanaman yang biasa ditemui di sekeliling rumah, tetapi mempunyai nilai perubatan seperti Bunga Raya, Bunga Tahi Ayam, Senduduk, Pokok Kapal Terbang, Sireh, Kesom, Pinang dan sebagainya.
Rimba Herba berpotensi sebagai “muzium hidup” yang mempamerkan tumbuhan herba tempatan di mana lokasi ini sangat sesuai dijadikan destinasi kunjungan utama bagi mereka yang ingin mengenali dan mengetahui jenis dan kegunaan tumbuh-tumbuhan tempatan yang mempunyai nilai perubatan.
Melalui pengalaman melihat, menyentuh dan menikmati hasil produk tumbuhan herba, secara tidak langsung pelawat-pelawat akan mendapat pengetahuan dan kesedaran tentang kelebihan tumbuhan-tumbuhan herba yang terdapat di negara kita.
Antara kemudahan yang ada ialah laluan interpretasi, tandas, wakaf, bangku rehat beserta meja, ruang taklimat, pusat informasi, kiosk cenderahati serta pusat jualan tumbuhan dan produk herba. Taman ini juga turut dilengkapi dengan panel-panel interpretasi untuk memberi maklumat kepada pengunjung.
Antara aktiviti menarik yang boleh dijalankan adalah lawatan berpandu dan lawatan pandu sendiri ke denai alam, rendaman kaki dalam minyak herba, lawatan ke laman orkid dan jualan pokok terutamanya produk herba. Selain daripada itu, pengunjung juga boleh menikmati urutan minyak herba dan mencuba minuman herba yang ditawarkan di sini.
Rimba Herba Perlis dibuka kepada pengunjung bermula jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang. TUTUP pada setiap hari RABU kecuali pada cuti sekolah dan cuti umum.
Harga Tiket Masuk Rimba Herba
Berikut adalah jadual kadar bayaran masuk dan aktiviti yang boleh dijalankan di Rimba Herba Perlis:
Kadar Bayaran Masuk | Warganegara | Bukan Warganegara |
---|---|---|
Dewasa | RM2.00 | RM5.00 |
Kanak-Kanak | RM1.00 | RM3.00 |
Golongan Kurang Upaya (OKU) | PERCUMA | - |
Perkhidmatan | Warganegara | Bukan Warganegara |
---|---|---|
Merendam Kaki Minyak Herba (30 minit) | RM10.00 | RM20.00 |
Urutan Kaki | RM15.00 seorang | RM30.00 seorang |
Pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti seperti merendam kaki dalam minyak herba dan mendapatkan urutan kaki sambil belajar mengenai herba tempatan di Rimba Herba Perlis.