Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA 2024) sudah berusia 100 tahun sejak ia mula dianjurkan pada tahun 1923.
Tahun ini, pameran agro terbesar di Asia Tenggara ini kembali diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor 11 hingga 22 September dengan tarikan yang lebih segar !
Menampilkan banyak kelainan dan keunikan tersendiri, MAHA 2024 tidak hanya memberi tumpuan kepada pertanian, tetapi juga kepada penternakan haiwan serta industri perikanan dan akuakultur.
Jom ikuti 10 tarikan yang ‘wajib’ anda kunjungi.
1. MAHA Go Global
MAHA 2024 menjadi medan bagi para pengunjung berpeluang untuk merasai dan menikmati produk pertanian bukan sahaja dalam negara, bahkan dari luar negara.
Antara 16 negara yang menyertai acara ini adalah Jepun, Thailand, Brunei, Indonesia dan Hong Kong serta beberapa negara Eropah.
Pastinya anda akan berpuas hati sebaik memasuki ke ruang pameran di Zon 1 Kawasan Perdana kerana pengunjung boleh mencuba kepelbagaian makanan negara-negara berkenaan secara percuma.
Bagi pemain industri, MAHA Go Global sudah tentunya menjadi platform yang amat berharga untuk mereka membina rangkaian, belajar dan meneroka peluang perniagaan baharu menerusi jaringan antarabangsa.
Selain itu, ia juga dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan dalam sektor pertanian dan hortikultur, meningkatkan eksport serta menggalakkan inovasi.
2. Pasar terapung
Pasar terapung adalah tarikan terbaru MAHA 2024. Terletak di Agro-Park di Zon 5, pengunjung yang berada di Pavilion Negeri di Zon 3 perlu menyeberangi Tasik MAEPS menggunakan jambatan untuk sampai ke pasar berkenaan.
Sekali imbas, pasti ramai terbayang-bayang pasar terapung di Hat Yai, Thailand kerana terdapat pelbagai pilihan makanan yang dijual oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Antara menu wajib dicuba semestinya kari ikan temenung, nasi dagang dan ikan celup tepung dan pelbagai lagi makanan yang disajikan di tujuh perahu.
3. Laman Florikultur
Bagi mereka yang kaki bergambar dan gemar merakam video, Laman Florikultur ini sememangnya wajib untuk anda singgah bersama orang tersayang.
Laman Florikultur ini menempatkan pelbagai jenis bunga dengan bunga matahari paling mencuri tumpuan ramai.
Sebaik melalui terowong bunga orkid, hati anda pastinya terdetik rasa kagum dengan pemandangan dan kecantikan bunga matahari yang kembang mekar dengan saiz paling besar menyamai muka orang dewasa!
4. Jualan tanaman
Kunjungan ke MAHA 2024 tidak akan lengkap tanpa singgah di gerai jualan tanaman. Bagi penggemar bercucuk tanam, semua jenis tanaman yang anda inginkan ada di sini.
Anda boleh menemui pelbagai pilihan, daripada buah-buahan seperti durian, rambutan, cempedak, manggis, hingga ke tanaman hiasan seperti bunga raya, orkid, dan bunga kertas, serta pelbagai jenis sayur-sayuran.
Bagi yang baru hendak berkecimpung dalam dunia berkebun, inilah peluang terbaik anda untuk mula. Di sini, anda akan diberikan penerangan terperinci mengenai tanaman yang sesuai ditanam di kediaman anda.
Ingatlah, tanaman di rumah bukan sahaja membantu pengudaraan yang lebih baik, tetapi juga meningkatkan produktiviti dan memberikan ketenangan jiwa serta fikiran.
5. Laman Padi
Perhatian kepada kaki bergambar! Di sini anda berpeluang memenangi hadiah bekalan beras selama setahun. Syaratnya perlu bergambar bersama keluarga dengan latar belakang kawasan sekitar Laman Padi.
Tidak tahu bergambar di mana? Jangan risau, Laman Padi sememangnya dipenuhi dengan ‘port’ menarik untuk bergambar seperti tangga di tengah sawah, jerami haiwan, malah jentera menuai padi.
Jika pengunjung teringin merasai bagaimana susahnya menjadi pesawah, boleh juga mencuba menanam padi. Di sini akan menguji keberanian pengunjung sama ada takut atau tidak berdepan dengan lintah sawah.
Selain itu, di Laman Padi juga mendedahkan orang ramai mengenai proses bagaimana beras dihasilkan, bermula dari menanam hinggalah padi yang masak diambil. Jangan ingat sawah padi berlumpur sahaja tau, di sini juga terdapat padi huma yang tidak menggunakan air.
6. Inovasi
Sesetengah pihak beranggapan bahawa pertanian hanya melibatkan kaedah tradisional, namun di MAHA 2024, teknologi dan inovasi turut diberi penekanan.
Di Zon 1 Kawasan Perdana, pengunjung akan diperkenalkan kepada kemajuan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), dan pelbagai inovasi lain yang mampu meningkatkan produktiviti pertanian.
Pameran ini mampu menarik minat golongan muda untuk terlibat dalam sektor pertanian. Sebanyak 180 syarikat antarabangsa yang berkaitan teknologi pertanian dan makanan turut serta.
Secara tidak langsung, acara ini bukan sahaja menjadi platform untuk pertukaran idea, malah membuka peluang pelaburan kepada petani muda dalam sektor agromakanan negara untuk melangkah lebih jauh.
7. Laman Agro Ternakan
Bagi ibu bapa yang membawa anak-anak, jangan lepaskan peluang untuk melawat Laman Agro Ternakan di Zon 6. Di sini, anak-anak anda bukan sahaja dapat melihat haiwan ternakan dalam kandang, malah berpeluang bermain bersama haiwan tersebut.
Jika ingin melihat haiwan eksotik, kunjungilah Petting Zoo, di mana beberapa ekor gajah dibawa khas sempena MAHA 2024.
Selain itu, terdapat juga jualan produk dan penjagaan haiwan peliharaan pada harga berpatutan.
8. Pavilion Negeri
Terletak di Zon 3, Pavilion Negeri menampilkan keunikan setiap negeri di Malaysia.
Jika anda tidak berkesempatan melancong ke seluruh negara, Pavilion Negeri membawa seluruh Malaysia ke MAHA 2024. Di sini, anda boleh menikmati pelbagai makanan tradisional, mendapatkan pakaian dan cenderamata, serta membeli produk pertanian dari setiap negeri.
Tradisi, seni, dan kebudayaan juga dipersembahkan di Pavilion Negeri melalui persembahan yang diadakan mengikut negeri.
9. Agro Business
Lebih daripada 150 produk usahawan dari seluruh negara boleh didapati di Agro Business, dengan jaminan bahawa anda pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong.
Setiap reruai usahawan menawarkan peluang kepada pengunjung untuk mencuba sendiri produk yang mereka hasilkan.
Sama ada anda mencari makanan ringan, produk siap panas, atau minuman berkhasiat, semuanya tersedia di sini.
Lebih menarik lagi, dengan pembelian minimum RM150, anda berpeluang memenangi perkakasan memasak.
Orang ramai boleh mengunjungi MAEPS Serdang, di mana MAHA 2024 berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Untuk maklumat lanjut, layari https://mahaofficial.my/ atau hubungi 603-88701954/1958/1960. Info terkini juga boleh didapati di Facebook Expo MAHA dan Instagram mahaofficialmy.
Kredit : mStar