Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) merupakan acara yang sentiasa dinanti oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Memasuki era baharu yang lebih kompetitif dan inovatif, MAHA 2024 akan memberikan tumpuan kepada sektor keterjaminan makanan, yang dijangka menarik minat golongan muda. Seiring dengan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), dan teknologi moden lain yang mampu meningkatkan produktiviti, pameran ini berpotensi menarik lebih ramai anak muda untuk menceburi sektor pertanian.
MAHA 2024, yang akan berlangsung dari 11 hingga 22 September, menawarkan pelbagai pengisian baharu dan interaktif, merangkumi 48 segmen, termasuk enam segmen terbaru iaitu:
1) Magical at Night and 3D Water Show;
2) Kids Attraction/ Kids Farm Garden;
3) Rhythms of Farmers;
4) Sunflower & Orchid Garden;
5) Motorhome & Glamping; dan
6) Floating Market.
Lebih menarik, lebih 180 syarikat luar negara yang berkaitan teknologi pertanian dan makanan akan turut serta.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, MAHA merupakan platform penting bagi anak muda untuk meningkatkan potensi dan mendapat manfaat daripada sektor ini. Beliau juga berharap bajet untuk golongan muda dalam sektor pertanian dapat dipertingkatkan pada masa hadapan.
Dengan tema "Menuai Harapan Membina Masa Hadapan," MAHA 2024 akan disertai lebih 2,000 usahawan tempatan dan antarabangsa, serta dijangka menarik tiga juta pengunjung sepanjang tempoh pameran, terutamanya ketika cuti sekolah. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman menarik di MAHA 2024!