Taman Tema Maps di Ipoh secara rasminya ditutup pada 28 Januari 2020, iaitu pada bulan pertama Tahun Melawat Malaysia 2020.
Taman tema di Meru Ipoh ini yang dibuka pada Jun 2017, sempat beroperasi selama 2 tahun 7 bulan, sebelum ditutup secara drastik, walaupun pihak kerajaan negeri berkali-kali menafikan bahawa ianya akan dihentikan operasinya.
Jadi apa sebab MAPS Ipoh ini ditutup sebegini rupa?
MAPS Dibuka Tanpa Watak Utama
Pada awalnya MAPS dikatakan bakal menjadi taman tema dengan watak animasi Dreamworks seperti Smurfs, Mr Peabody and Sherman, dan Casper the Friendly Ghost.
Akan tetapi, bahagian yang menempatkan bintang-bintang Dreamworks Studios ini tidak disiapkan pada masa yang yang dirancang.
Pembinaan tarikan untuk Dreamworks ini juga ditangguhkan beberapa kali sehingga perjanjian dengan pihak terbabit tamat pada Ogos 2018. Ini menyebabkan MAPS dibuka tanpa tarikan utamanya.
Belanja MAPS Besar, Sasaran Pula Jauh Tersasar
Projek MAPS ini sebenarnya adalah satu projek kontroversi. Kos asal untuk membina taman tema ini dilaporkan RM 390 juta.
Akan tetapi hasil audit mendapati bahawa kos membinanya meningkat sehingga dikatakan mencecah RM 607 juta, dengan dakwaan bahawa ada beberapa perkara yang tidak kena dengan pembayaran oleh pihak MAPS kepada kontraktor.
Yang mengejutkan ialah jumlah perbelanjaaan RM 607 juta itu ialah sekitar separuh daripada bajet untuk seluruh negeri Perak. Belanja besar ini walaubagaimanapun, tidak menjanjikan keuntungan.
Sasaran Sampai 1 Juta Pengunjung Setahun
MAPS diimpikan sebagai taman tema animasi pertama dalam Asia. Ia patut datang dengan 40 tarikan di 6 kawasan taman tema. Mengikut pelan asal, Perak Corp menyasarkan 1 juta pengunjung untuk tahun pertama pembukaannya.
Angka sasaran ini walaubagaimanapun, tidak realistik. Ini kerana 1 juta pengunjung adalah angka semasa yang dicatat oleh taman tema Lost World of Tambun berhampirannya (yang telah lebih 15 tahun beroperasi dan jauh lebih popular).
Taman Tema Escape di Penang juga cuma mencatat 120,000 pengunjung pada tahun pertama pembukaannya.
Rugi MAPS Ratusan Juta
Akibatnya, Animation Theme Sdn Bhd (ATP) yang menguruskan Taman Tema ini mencatat kerugian sejak mula MAPS dibina. ATP dilaporkan rugi lebih RM360 juta pada 2017 manakala Perak Corp sebagai pemilik bersama taman tema ini pula rugi RM 320 juta pada tahun yang sama.
Menurut laporan, taman tema MAPS ini adalah projek yang membebankan dengan kerugian RM 5 juta setiap bulan. Peralatan MAPS yang bernilai puluhan juta ringgit juga terbiar begitu sahaja.
Perak Corp dikatakan telah cuba mencari pembeli baru. Tapi tidak ada pihak yang sanggup menanggung liabiliti lebih RM 650 juta MAPS.
Percubaan Menghidupkan MAPS Gagal
Pada bulan Mac 2019, MAPS cuba mengubah cara operasinya.
Pengunjung dibenarkan masuk ke sini secara percuma dan hanya perlu membayar jika mereka mahu menonton persembahan, masuk ke rumah hantu ataupun bermain permainan yang ada di sini.
Jumlah pengunjung MAPS pada waktu ini bertambah. Akan tetapi ia tidak membantu banyak kerana kebanyakannya hanya datang bersiar-siar dengan keluarga.
MAPS Semakin Celaru Sejak 2019
Keadaan pentadbiran MAPS yang celaru jelas kelihatan pada 2019 sehingga 2020.
Pada awal Januari 2020, ia mengumumkan bahawa hanya akan beroperasi 5 hari seminggu. Ia juga tutup pada Isnin dan Selasa, dengan waktu operasinya bermula daripada tengah hari hingga 8 malam.
Hanya beberapa hari sebelum itu ia mengumumkan waktu operasinya yang berlainan, iaitu dari 4 petang hingga 11 malam pada hari tertentu, dan 10 pagi hingga 11 malam pada hari cuti.
Waktu operasi MAPS kerap berubah, seolah-olah ia bukan lagi sebuah taman tema gergasi tetapi seperti gerai nasi lemak pasar pagi yang dibuka sesuka hati.
Ditambah pula dengan permainan yang kerap ditutup kerana dikatakan untuk diselenggara, keadaan masa depan MAPS semakin huru hara.
Pada 16 dan 17 Disember 2019, MAPS ditutup selama dua hari. Media melaporkan ia disebabkan oleh tunggakan bil elektrik taman tema itu yang mencecah RM4 juta.
MAPS Tutup Dan Warga Perak Tak Tahu
Kalau bukan disebabkan ianya dalam berita, penutupan MAPS sebenarnya tidak disedari oleh warga Ipoh sendiri. Ini kerana ia bukanlah tarikan sepopular Lost World, dan ia juga dibuka setiap hari dalam keadaan sunyi sepi tiada bunyi.
Apa yang menyedihkan ialah nasib lebih 250 pekerja MAPS yang rata-ratanya warga bumiputera, nasib hotel-hotel bajet berdekatan kawasan Meru yang mengharap tetamu ke situ dan hutang lebih RM 600 juta yang ditanggung akibat projek besar yang tidak dikaji teliti.
Sementara kos membina MAPS ialah RM 607 juta, Sim Choo Keng membina Escape Penang dengan dengan kos RM 8 juta dari poket sendiri dan dimulakan di atas tanah terbiar di Teluk Bahang.
Kalau ada yang mengatakan yang rugi pada beberapa tahun awal itu normal, ini kata Khoo.
“Ramai yang kata, rugi untuk beberapa tahun pertama operasi itu normal untuk taman tema. Itu tidak normal. Dari hari pertama kami telah beroperasi dengan untung dan yang terkini, perkembangan operasi kami ialah pada tahap 15%”.
Tak hairanlah, bermula dari taman kecil yang tak didendang sesiapa, kini 9 tahun kemudian, Escape menjadi antara taman tema tersohor di Malaysia.
Ia diletak sebagai antara taman tema terbaik Asia dan dengan slide air paling panjang di dunia, manakala MAPS terkubur dengan hina bersama hutang beratus juta.