Bagi anda yang merancang perjalanan ke atau dari KLIA minggu ini, sila ambil perhatian – beberapa laluan utama akan ditutup sepenuhnya sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia. Penutupan jalan ini dijadualkan berlangsung pada dua hari berasingan dan dijangka memberi kesan besar kepada aliran trafik di sekitar KLIA dan Putrajaya.
Waktu Penutupan Jalan
Penutupan jalan akan berlaku pada dua slot masa berikut:
Selasa, 15 April
6:00 petang hingga 7:00 petang
Khamis, 17 April
8:50 pagi hingga 9:50 pagi
Laluan Yang Terlibat
Antara laluan utama yang akan ditutup termasuk:
- Lebuhraya KLIA
- Lebuhraya ELITE
- Lingkaran Putrajaya
- Lebuhraya Putrajaya-Dengkil
- Persiaran Selatan
- Lebuhraya Gemilang
- Jalan P5
Pengguna jalan raya, terutamanya mereka yang menuju ke lapangan terbang, dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal atau menangguhkan perjalanan bagi mengelakkan kelewatan besar.
Pengangkutan Yang Disarankan
Untuk mengelakkan kesesakan jalan raya, pengguna dinasihatkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam berikut:
- KLIA Ekspres dari KL Sentral ke/dari KLIA Terminal 1 & 2
- KLIA Transit dari KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Putrajaya, Cyberjaya atau Salak Tinggi ke/dari KLIA Terminal 1 & 2
Laluan Alternatif Jika Memandu Tidak Dapat Dielakkan
Sekiranya anda perlu memandu ke KLIA, berikut adalah laluan alternatif yang dicadangkan:
Lebuhraya ELITE (E6) > Keluar di Tol Serenia > Kota Warisan > Bulatan Masjid > Jalan KLIA 1 > Bulatan Charterfield > Terminal 1 KLIA
Nota: Laluan ini hanya akan membawa anda ke Terminal 1 sahaja.
Tiada Akses Kenderaan ke KLIA Terminal 2
Sepanjang tempoh penutupan, akses ke KLIA Terminal 2 menggunakan kenderaan persendirian adalah tidak dibenarkan. Terminal 2 hanya boleh diakses melalui perkhidmatan KLIA Transit dari Terminal 1.
Penumpang yang tiba di Terminal 2 perlu menaiki KLIA Transit ke Terminal 1 untuk meneruskan perjalanan masing-masing.
Tips Untuk Penumpang:
- Tiba lebih awal daripada biasa di KLIA untuk elak terlepas penerbangan.
- Gunakan pengangkutan awam seperti KLIA Ekspres dan Transit yang tidak terjejas dengan penutupan ini.
- Semak kemas kini trafik dan pengumuman dari pihak berkuasa sebelum keluar rumah.
Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran perjalanan Presiden Xi Jinping serta keselamatan semua pengguna jalan raya. Bersama kita rancang perjalanan dan bantu kurangkan kesesakan.