Thailand Perkenal Kad Ketibaan Digital – Wajib Isi Sebelum Masuk Bermula 1 Mei 2025
Bermula 1 Mei 2025, semua pelancong asing yang ingin memasuki Thailand melalui udara, darat atau laut perlu melengkapkan Thailand Digital Arrival Card (TDAC) secara dalam talian sebelum tiba. Langkah ini menggantikan kad ketibaan kertas tradisional dengan sistem digital yang lebih pantas, mudah dan selamat.
Apa Itu Thailand Digital Arrival Card (TDAC)?
TDAC adalah versi elektronik kad ketibaan yang selama ini perlu diisi secara manual oleh pelancong ketika tiba di Thailand. Sistem ini bukan sahaja memudahkan urusan di imigresen tetapi juga mengurangkan penggunaan kertas serta mempercepatkan proses pemeriksaan di pintu masuk Thailand.
Sistem ini telah diuji sebelum pelaksanaan rasmi dan dijangka akan menjadikan pengalaman ketibaan di Thailand lebih lancar. Jadi, kalau selama ini ramai yang terpaksa beratur panjang dan mengisi borang secara manual di kaunter imigresen, sistem baharu ini akan mengurangkan masa menunggu dengan ketara.
Bagaimana Cara Isi Thailand Digital Arrival Card?
Mudah sahaja, asalkan korang buat dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan ke Thailand. Ikuti langkah berikut:
- Log Masuk ke Portal
- Pergi ke laman web rasmi: https://tdac.immigration.go.th
- Atau imbas kod QR yang tersedia di pintu masuk lapangan terbang dan pusat pemeriksaan sempadan.
- Lengkapkan Pendaftaran
- Isi maklumat peribadi seperti nama penuh, kewarganegaraan, nombor telefon, alamat e-mel dan butiran pasport.
- Masukkan maklumat perjalanan seperti nombor penerbangan, tujuan lawatan, dan alamat penginapan di Thailand (hotel, Airbnb, rumah saudara atau lain-lain).
- Hantar Borang Secara Online
- Selepas selesai isi borang, korang akan menerima e-mel pengesahan. Pastikan semua butiran betul sebelum menghantar.
- Tunjukkan di Kaunter Imigresen
- Bila sampai di Thailand, tunjukkan e-mel pengesahan TDAC bersama pasport dan dokumen perjalanan lain di kaunter imigresen.
Apa Kelebihan TDAC?
- Cepat & Efisien – Tak perlu lagi isi borang secara manual, hanya tunjuk e-mel pengesahan di imigresen.
- Kurang Kertas, Lebih Mesra Alam – Tiada lagi borang kertas yang selalunya berakhir di tong sampah.
- Keselamatan Dipertingkatkan – Sistem digital mengurangkan risiko pemalsuan dokumen ketibaan.
Siapa Wajib Isi TDAC?
Semua pelancong asing yang bukan rakyat Thailand perlu mengisi TDAC sebelum masuk ke negara itu. Tak kira masuk melalui kapal terbang, jalan darat dari Malaysia, atau feri dari Langkawi ke Satun, sistem ini wajib digunakan.
Bila Perlu Buat Pendaftaran TDAC?
TDAC mesti diisi dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan. Jadi, pastikan korang daftar awal supaya tak ada masalah di imigresen nanti.
Kesimpulan
Thailand semakin maju dalam sistem imigresen dengan pengenalan TDAC ini. Kalau korang plan nak bercuti ke Bangkok, Phuket, Krabi atau Hat Yai lepas 1 Mei 2025, pastikan TDAC dah siap sebelum berlepas. Dengan sistem baharu ini, urusan masuk ke Thailand akan jadi lebih mudah dan cepat tanpa perlu risau tentang borang kertas lagi.
Jadi, dah ready nak bercuti ke Thailand? Pastikan korang daftar TDAC sebelum sampai, supaya percutian berjalan lancar tanpa gangguan di imigresen.