Seorang lelaki di Indonesia sanggup menggadaikan nyawa dengan meredah lautan dan berenang dengan hanya menggunakan 2 tong air sebagai pelampung kerana tidak memiliki wang yang mencukupi bagi menampung kos tambang perjalanannya pulang ke kampung halaman.
Lelaki bernama Dedik, 27, ditemui terapung selama tiga jam dengan berpaut kepada dua tong air di perairan Teluk Balikpapan, Kalimantan Timur, pada Rabu lapor sebuah media tempatan Indonesia.

Dedik dikatakan berenang bermula dari Balikpapan Selatan dengan niat untuk pulang ke kampung halamannya di Malang, Jawa Timur selepas gagal mendapatkan pekerjaan disana. Sangkanya, jika dia terus berenang, tentu dia dapat kembali ke pulau Jawa dan mendapat pekerjaan di kampung.

Apa yang dilakukan lelaki ini adalah mengikat dua buah tong air yang besar ke tubuhnya yang kurus itu. Satu botol dipegang di depan tubuhnya dan satu lagi diletakkan tepat di punggungnya bagi dijadikan sebagai pelampung.
Dia yang disangka sudah lemas ditemui oleh penduduk tempatan kira-kira 300 meter dari daratan.

"Kami mendapat maklumat daripada penduduk (pengusaha bot laju), menemui lelaki lemas. Kami terus bergegas ke lokasi. Dedik telah diselamatkan dan dibawa ke darat, Sudah tiga jam terapung, bersyukur dia selamat dan tidak terapung jauh," kata Ketua Polis Pelabuhan Balikpapan Semayang, AKP Retno Ariani pada Khamis.

Ketika ditemui, Dedik tidak mengalami kecederaan. Namun menurut Retno, lelaki berkenaan memiliki rekod kesihatan penyakit kemurungan.
"Semasa membawa pulang ke kampung, kakak mangsa beritahu adiknya alami penyakit kemurungan dan pernah menjalani rawatan selama sembilan bulan di hospital," jelasnya.
Kisah Dedik mendapat perhatian netizen setelah foto dia terapung di laut tular di laman sosial.

Ramai yang terharu dengan perjuangan Dedik yang sanggup melakukan aksi sebegitu semata-mata untuk pulang ke kampung halamannya. Meskipun sedar bahawa menaiki kapal memerlukan beberapa hari, apatah lagi berenang, beliau tetap memiliki tekad untuk pulang ke kampung halamannya.
Ramai yang sempat mengirimkan doa buat Dedik. Keadaan fizikalnya dikhabarkan masih dalam pemulihan kerana terlalu lama berenang.
Kami di Surgaroute mendoakan beliau agar segera sembuh!