Kerajaan mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara bagi membantu merancakkan sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.
"Kini, kami di peringkat mengadakan rundingan dengan negara-negara seperti Singapura, Brunei, Korea, Jepun, Taiwan dan New Zealand yang dikenal pasti sebagai kawasan Zon Hijau," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).
Nancy berkata beliau menerima banyak permintaan daripada pemain industri pelancongan tempatan untuk mempertimbangkan pembukaan sempadan bagi memastikan perniagaan mereka terus bertahan di situasi gawat ini.
"Bagaimanapun, perkara (pembukaan sempadan) ini perlu dibincangkan dengan lebih lanjut bersama kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan bahawa kebenaran itu diberikan untuk membantu meningkatkan sektor pelancongan di negara ini," katanya.
Ditanya sama ada gelembung perjalanan zon hijau membantu meningkatkan sektor pelancongan, Nancy berkata: "Ya, malah bilik di hotel-hotel seperti Langkawi telah penuh ditempah. Jadi, ia merupakan inisiatif yang bagus khususnya untuk sektor pelancongan."
Sementara itu, Nancy turut menggesa pelancong dari zon hijau untuk melakukan perjalanan ke tempat lain yang selamat supaya mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) terutamanya dalam mengekalkan penjarakan fizikal ketika bercuti.
"Kita tidak mahu kes COVID-19 semakin meningkat apabila kerajaan meluluskan gelembung perjalanan zon hijau kerana akhirnya ia akan memberi kesan terhadap ekonomi khususnya sektor pelancongan di negara kita," katanya.
Sumber : BERNAMA