Putrajaya bukan sahaja terkenal sebagai pusat pentadbiran negara dan lokasi bangunan-bangunan yang mempunyai senibina mengagumkan. Malah, Putrajaya kini menjadi pusat tarikan pelancongan untuk warga tempatan serta perlancongan asing. Pelbagai acara menarik telah diatur di Putrajaya dalam usaha untuk menghidupkan bandaraya lestari ini.
Menurut satu kalendar acara Putrajaya tahun 2022, nampaknya Festival Royal Floria Putrajaya akan kembali setelah terhenti lama akibat pandemik COVID-19.
Perbadanan Putrajaya dengan sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Royal Floria Putrajaya 2022 bermula 29 Ogos sehingga 4 September 2022 ini.
Untuk pengetahuan,festival bunga-bungaan terulung negara ini telah dianugerahkan dengan gelaran Diraja oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong pada penganjuran Floria 2014.
Untuk edisi 2022 ini, ia akan diadakan di tapak kekal acara seluas 29 ekar yang dinamakan sebagai Anjung Floria di Presint 4, Putrajaya.
Anjung Floria kini telah ditransformasikan sebagai sebuah kawasan bertaman sepanjang tahun dengan pelbagai komponen menarik seperti Taman Persahabatan Malaysia-China, Taman Fantasi, Bustan Inggeris dan Persisiran Heliconia.
Selain itu, di Anjung Floria sendiri terdapat Pantai Floria. Disini terdapat pelbagai aktiviti disediakan seperti aktiviti berbasikal, berkelah, bermain di pantai, mandi-manda di Pantai Floria, memancing, berkayak, dan santai sambil menikmati hidangan di kafe-kafe disisiran tasik.
Pengunjung juga boleh membeli pokok di Garden Shop. Kawasan ini sangat sesuai untuk keluarga dan mereka yang suka OOTD sambil merakam memori indah berekreasi bersama keluarga di Putrajaya.
Sempena Floria, pelbagai lagi aktiviti menarik akan disediakan secara khas buat para pengunjung. Antaranya adalah pertandingan terrarium, pertandingan orkid, program bicara taman dan sebagainya.