Bagi umat Islam, tahun baru mereka ialah pada awal Muharram dan pada waktu ini, mereka dianjurkan untuk membaca doa akhir dan awal tahun bagi memohon kepadaNya agar tahun yang telah dilalui diberkati dan menjadikan tahun baru lebih baik daripada tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, menjadi persoalan juga buat umat Islam, adakah mereka boleh menyambut tahun baru Masihi sama seperti tahun baru Hijrah dan meraikannya dengan melakukan beberapa aktiviti lain seperti berkumpul bersama keluarga atau mengucapkan ‘Happy New Year’ kepada kenalan?
Jawapannya Ya, Boleh ! Tetapi sambutan tersebut perlu berlandaskan syarak, mengikut garis panduan hukum Islam dan besederhana.
Salah satu acara yang paling baik untuk diikuti bagi acara tahun baru ini adalah program yang bermanfaat seperti acara kerohanian dan juga program keagamaan yang semakin banyak diadakan, mengimbangi banyak program-program keduniaan yang melalaikan seringkali diadakan pada malam tahun baru.
Disini kami war-warkan 2 acara kerohanian yang anda boleh hadiri sempena malam ambang tahun baru 2023.
Ambang Gema Syukur 2023 - Masjid Jamek Sultan Abdul Samad
Bersempena malam Ambang Tahun Baru 2023, pihak Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur bersama rakan strategik akan mengadakan Ambang Gema Syukur 2023. Pelbagai Jualan dan Pameran dibuka sepanjang 3 hari iaitu 30,31 Disember 2022 & 1 Januari 2023.
Bersempena dengan acara ini, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Dibuka 24 Jam pada 31 Disember 2022
Pelbagai aktiviti yang menarik sesuai dilakukan bersama keluarga antaranya Klinik Al-Fatihah, Pertandingan Azan dan Cabaran Tebuk Surah. Bagi kanak-kanak pula disediakan aktitivi Mewarna, Mainan Teka Teki dan Dam Ular.
Setelah selesai Solat Asar pula pihak masjid akan mengadakan kegiatan luar seperti Sepakan Penalti, Baling Gelung, Kotak Misteri dan banyak lagi. Banyak hadiah menanti anda untuk setiap penyertaan.
Bukan itu sahaja, asatizah yang hebat turut dijemput bagi segmen Forum Jamek Hawa bersama Ustazah Noni dan Ustazah Quratul Ain.
Disebelah malam pula kami telah menjemput UNIC, Imam Muda Najdi, Imam Muda Hafiz, Pencetus Ummah (P.U) Amin dan ramai lagi, sambil kita bermunajat dan berdoa bagi keselamatan negara (hiburan hati), pihak masjid akan sajikan forum bertajuk Syukur Dan Sabar untuk anda.
Pada jam 4.30 pagi 1 Januari 2023 pula, jemaah akan beriktikaf, berqiamullail khasnya solat hajat bagi hajat yang sama yang akan dipimpin oleh Imam Muda Aran. Setelah solat Subuh, beliau juga akan menyampaikan kuliah subuh yang bertajuk "Azam Tahun Baru".
Malam Munajat Ambang Tahun Baru 2023 - Masjid Putra Putrajaya
Kalau tadi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ada satu lagi acara berbentuk kerohanian buat warga Wilayah Persekutuan Putrajaya dan sekitar.
Malam Munajat Ambang Tahun Baru 2023 diadakan bersempena dengan Karnival Masjid Putra Putrajaya.
Lebih menarik, acara ini turut akan dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Dalam acara yang sama, Perdana Menteri akan menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 pada jam 8.00 malam yang akan disiarkan secara langsung di kaca televisyen.
Rakyat Malaysia yang berkelapangan untuk ikut turut serta dalam majlis ini yang akan bermula pada jam 6.30 petang. Selain daripada itu, terdapat pelbagai lagi program sampingan bersempena Karnival Masjid Putra.
Mari kita hadir dan semarakkan Malam Tahun Baru dengan aktiviti yang bermanfaat bersama ahli keluarga kita dan yang paling penting bersama berdoa dan bermunajat demi kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia.