Port Dickson, Negeri Sembilan
SELEPAS sepi selama tiga bulan, pantai terkenal dengan sektor pelancongan di Port Dickson kini mula dibanjiri pengunjung untuk beriadah bersama keluarga.
Bagi pengunjung, Jody Chew, 35, dari Kuala Lumpur, dia bersama suami, Kevin Jo Kok Wai, 36, dan dua anaknya berusia lima dan sembilan tahun menempah sebuah hotel untuk bercuti.
"Anak-anak mula bosan kerana sudah lama berkurung, jadi kami mengambil peluang bercuti selepas dibenarkan merentas negeri.
"Port Dickson adalah jalan penyelesaian bagi mengurangkan rasa bosan anak-anak, sebelum ini mereka sering mengajak kami bercuti tetapi hasrat itu terpaksa ditangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Salorwadi Mohd Noor, 45 berkata, dia mengambil peluang menziarahi keluarga isteri di Port Dickson, selain membawa anaknya, Nurduha Sofia, 10 bulan mandi laut buat kali pertama.
"Bagi saya keadaan di pantai ini terkawal dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan sosial.
"Ini kerana kawasan persisiran pantai yang luas memudahkan kita mengikut saranan kerajaan supaya menjaga jarak dan tidak berkumpul terlalu ramai," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa ketika dihubungi berkata, kawasan pantai mula dibuka kepada pengunjung untuk mandi manda.
Tetapi, beliau berkata, orang ramai perlu mematuhi SOP ditetapkan serta tidak mengambil ringan soal penjarakan sosial.
"Bagaimanapun, kami mula mendapat rungutan daripada orang ramai pantai dicemari sampah sejak dibuka semula, ia disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung yang membuang sampah merata-rata," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, MPPD akan mencari mekanisme untuk membendung masalah pembuangan sampah di pantai dengan membuat rondaan, mengenakan kompaun dan mengkaji peletakan kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.
Sumber : Harian Metro
Langkawi , Kedah
Sumber : MDaily
Lebih 4,000 pengunjung dicatatkan memasuki Pulau Langkawi dari dua laluan feri, Terminal Kuala Kedah dan Kuala Perlis, sepanjang tiga hari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom menjelaskan pihaknya kini terpaksa menambah satu lagi perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi pada jam 8 pagi bermula Sabtu bagi memenuhi permintaan tinggi daripada orang ramai.
Menurutnya, penambahan perjalanan itu dilihat mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan di pulau peranginan tersebut yang terjejas teruk semasa PKP dan PKPB.
"Semua laluan masuk ke Langkawi akan ada dua perjalanan dari Kuala Kedah pada jam 10 pagi dan 4 petang, dari Kuala Perlis pada jam 8 pagi dan 4 petang.
"Untuk keluar dari Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis adalah pada jam 11 pagi dan 4 petang," kata Baharin.
Selain penambahan perjalanan feri, pihak Konsortium Ferry Line juga tidak menolak kemungkinan untuk membuka lebih banyak perjalanan jika menerima permintaan khususnya bagi tempoh cuti hujung minggu dan cuti am termasuk sambutan Hari Raya Aidiladha penghujung bulan depan.
"Kami jangkakan pada sambutan Hari Raya Aidiladha nanti kemungkinan ada peningkatan permintaan pelancong ke Langkawi memandangkan kerajaan telah mengumumkan pengecualian cukai untuk pelancongan domestik.
“Jadi kami di Ferry Line akan membuat tambahan feri sehingga semua penumpang boleh masuk ke Langkawi pada cuti umum,” jelasnya.
Sebelum ini, konsortium itu hanya menyediakan satu perjalanan sahaja dari Kuala Perlis ke Langkawi iaitu pada jam 4 petang, manakala dari Langkawi ke Kuala Perlis dengan dua perjalanan iaitu pada jam 11 pagi dan 4 petang.
Penambahan satu perjalanan yang dibuat oleh pihak konsortium mampu memuatkan sekitar 600 sehingga 1,200 penumpang yang mana akan menambahkan bilangan pelancong ke Pulau Langkawi.
Sumber : Astro Awani
Zoo Negara, Hulu Klang
Sumber : Klook
ANGGOTA polis kini ditempatkan di Zoo Negara bagi memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya ditugaskan untuk memantau pergerakan setiap pengunjung yang hadir ke Zoo Negara.
"Setiap pengunjung diminta mematuhi SOP supaya penularan Covid-19 dapat diputuskan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Baru-baru ini, tular gambar yang menunjukkan pengunjung tidak mengamalkan penjarakan sosial ketika menonton pertunjukan di Zoo Negara.
Sementara itu, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmad Lana berkata, pengunjung agak ramai pada minggu pertama pembukaan Zoo Negara pada 10 Jun lalu dan mengakui ada antara mereka yang tidak mematuhi SOP.
Menurutnya, seramai 300 hingga 700 pengunjung hadir setiap hari dan bilangannya meningkat sehingga 1,500 orang pada hujung minggu.
"Kita akui pada awal pembukaan Zoo Negara selepas beberapa bulan ditutup kerana Covid-19, keadaan agak kelam kabut.
"Tetapi sekarang kita memastikan pengunjung mematuhi SOP dan dengan pemantauan polis serta agensi penguat kuasa lain turut membantu melancarkan operasi," katanya.
Rosly berkata, pihaknya akan menyediakan nombor kepada pengunjung yang datang dalam kumpulan keluarga bagi memudahkan SOP PKPP dilaksanakan.
Katanya, operasi Zoo Negara akan kembali seperti biasa pada Sabtu ini bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.
Tinjauan Bernama di Zoo Negara, hari ini mendapati tempat tarikan orang ramai itu dipenuhi pengunjung dan masing-masing dilihat mematuhi SOP yang ditetapkan.
Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, kebebasan orang ramai di kawasan tumpuan awam seperti Zoo Negara boleh ditarik balik sekiranya dikesan gagal mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan.
Sumber : Harian Metro
Melaka
Sumber : Airpaz Blog
Pemilik hotel di Melaka mula menerima tempahan penginapan walaupun negara masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan belum memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Pengarah Urusan Hotel De Mawardah, Muhammad Akram Abdullah, berkata setakat ini syarikatnya masih mengekalkan semua pekerja walaupun hampir tiga bulan tidak beroperasi.
"Walaupun dikhabarkan terdapat hotel ditutup, kecekalan dan kegigihan untuk bertahan menjadikan saya sentiasa berusaha memastikan ia mendapat sambutan.
"Apatah lagi dengan pelbagai pakej rangsangan ekonomi oleh kerajaan dan rantaian COVID-19 dapat diputuskan menerusi normal baharu, industri pelancongan akan terus relevan," katanya.
Beliau berkata, penggiat industri perhotelan dan pelancongan perlu selalu berbincang dengan kerajaan untuk meneliti strategi baharu memandangkan industri berkenaan bergantung harap kepada acara pelancongan yang sudah banyak dibatalkan demi tuntutan normal baharu.
"Mungkin sudah tiba masanya kita fokus kepada pelancongan pengalaman peribadi dengan produk seperti lawatan ke kampung unik, bengkel pembuatan makanan dan kraftangan dijadikan produk keutamaan.
"Produk pelancongan perlu dipakejkan bersama penginapan hotel bagi mengoptimumkan pendapat industri bersama. Dengan itu, kita dapat menyesuaikan dengan norma baharu menerusi kawalan jumlah pelancong dalam kumpulan kecil dalam satu-satu masa," katanya.
Muhammad Akrab menyambut baik pelepasan cukai dan pengurangan serta penangguhan bayaran levi bagi perkhidmatan perhotelan dan pelancongan yang dapat mengurangkan impak terhadap perniagaan.
Justeru, beliau berharap rundingan antara kerajaan dan pembekal utiliti seperti elektrik dan air akan dibuat agar diskaun diberikan ke atas bil penggunaan oleh industri pelancongan dan perhotelan dalam memastikan kos perniagaan dapat dikawal baik agar aliran tunai mencukupi bagi menampung kos operasi seperti gaji pekerja.
Beliau menyeru rakyat Malaysia supaya mengambil kesempatan terhadap pengumuman pelepasan cukai pendapatan individu hingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong dalam negara seperti diumumkan dalam pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
"Inilah masanya rakyat membantu industri pelancongan dan perhotelan tempatan, selain pelbagai tawaran menarik pada harga berpatutan diberikan penggerak industri," katanya.
Sementara itu, Pengurus Puteri Qashrina Chalet di Pantai Puteri dan Hotel di Tangga Batu, Nohisham Waled, berkata sudah hampir 200 tempahan dan pertanyaan setakat hari ini.
Beliau berkata, premis dengan jumlah keseluruhan membabitkan 64 bilik dan tiga kolam renang serta membabitkan 15 pekerja itu turut membuat potongan harga 10 peratus kepada pelanggan sehingga 31 Ogos depan.
Katanya, tempias tempahan di Langkawi juga bakal melimpah ke bandaraya berkenaan serta lokasi pelancongan lain di seluruh negara.
Sumber : Berita Harian
Cameron Highlands, Pahang
Sumber : Booking.com
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata Cameron Highland menunjukkan peningkatan mendadak dengan jumlah tempahan melebihi 300 bilik sebaik sahaja kebenaran untuk melancong di destinasi tempatan diiumukan.