Mesir akan membuka semula lapangan terbangnya bagi menyambut kedatangan pelancong bermula 1 Julai ini.
Pengumuman pembukaan semula ruang udara negara berkenaan dibuat kerajaan Mesir pada Ahad 14 Julai bagi merancakkan semula aktiviti pantai, perhotelan dan resort.
Menteri Penerbangan Awam Mohamed Manar berkata, pembukaan lapangan terbang itu membabitkan penerbangan antara negara yang sudah membuka kembali ruang udara mereka.
"Kita berharap perniagaan akan kembali pulih seperti sebelum ini," katanya.
Untuk rekod, bagi membendung penyebaran Covid-19, negara yang sememangnya bergantung kepada aktiviti pelancongan itu menghentikan lalu lintas udara selain menutup kawasan arkeologi, muzium dan hotel, sejak Mac lalu.
Dalam perkembangan sama, Menteri Pelancongan dan Antikuiti, Khaled al-Anani berkata, hanya tiga wilayah yang terkenal dengan resort pantai diizinkan untuk menyambut pelancong iaitu di Laut Merah, Sinai Selatan dan Marsa Matruh.
"Kami memilih ketiga-tiga wilayah ini kerana mereka berada di pesisir pantai, jauh dari pusat utama dan merekodkan jumlah jangkitan virus terendah," katanya.
Katanya, Mesir juga mengumumkan untuk mengenepikan visa pelancong dari 1 Julai hingga 31 Oktober ini.
Tambahnya, tempat pelancongan lain termasuk piramid di Giza, muzium Mesir di Kaherah dan kuil Karnak Luxor akan dibuka semula secara berperingkat.
"Kita tidak terburu-buru (buka kepada pelancong). Kita ingin memastikan kesihatan semua orang dan reputasi sebagai destinasi pelancongan utama dunia," katanya.
Untuk rekod, lebih 200 hotel sudah mendapat kebenaran untuk dibuka semula kepada pelancong selepas melaksanakan langkah-langkah kebersihan dan keselamatan yang ketat, termasuk menjarakkan meja restoran dan mengehadkan kapasiti lif.
Khaled bagaimanapun menegaskan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan kebenaran kepada pengusaha premis yang melanggar peraturan kesihatan ditetapkan.
Sumber : Harian Metro