Tindakan kontraktor membawa tongkang mendarat berhampiran pulau Mabul membawa mudarat apabila terumbu karang di destinasi pelancongan tersebut mengalami kerosakan.
Tongkang yang membawa bahan binaan untuk projek kerajaan dilihat cuba mendarat berhampiran di Pulau Mabul pada 24 Jun lalu sebelum dihalang pengusaha resort sekitar.
Menurut pengusaha resort yang minta dirahsiakan identitinya, beliau berjumpa dengan kontraktor dan memaklumkan bahawa tongkang itu terlalu besar dan tidak boleh mendarat di Pulau Mabul biarpun semasa air pasang kerana ia akan melanggar dan memusnahkan terumbu karang yang berada di kawasan sekitar.
Bagaimanapun, kontraktor tersebut tidak mengendahkan nasihat yang diberikan dan tetap bertindak membawa tongkang itu berlabuh di Pulau Mabul.
Pengasas bersama Green Semporna, Adzmin Fatta berkata, sangat menyedihkan apabila mendengar mengenai kerosakan yang berlaku di tapak selaman, Paradise One, Pulau Mabul ini.

“Kami sudah melaksanakan pelbagai program konservasi marin bersama masyarakat setempat di Pulau Mabul sejak bertahun lamanya. Kini, kami dikejutkan dengan berita tongkang melanggar terumbu.
“Banyak sukarelawan turut terkejut apabila mengetahui tentang kejadian ini. Kami bersama-sama memulihara terumbu karang di sini tapi, ia musnah dalam sekelip mata,” katanya.
Pengurus Besar Reef Cheeck Malaysia, Julian Hyde berkata, pihaknya amat terkejut mendengar kerosakan yang berlaku ke atas kawasan yang menjadi tarikan pelancongan di Pulau Mabul.
“Kawasan terumbu karang ini bukan hanya menjadi lokasi penyelidikan kami setiap tahun tapi, ia juga lokasi latihan bagi Reef Check. Banyak spesis yang unik ditemui di tapak selaman Paradsie One ini,” katanya.
Julian berkata, kerosakan terumbu karang yang berlaku itu memerlukan puluhan tahun untuk dipulihkan terutama ketika kebanyakan terumbu karang di perairan Semporna ini sedang dilanda pemutihan karang.

Untuk itu, beliau menasihatkan kontraktor agar lebih sensitif dan berhati-hati ketika membawa masuk bahan binaan bagi sebarang aktiviti pembinaan di pulau tersebut.
Pulau Mabul menempatkan banyak resort pelancongan dan menjadi salah satu lokasi wajib apabila pelancong ingin melakukan aktiviti selaman selain menyelam di Pulau Sipadan.
Tapak selaman di pulau ini menjadi rumah bagi kebanyakan spesis terumbu karang yang dikenalpasti oleh WWF-Semporna dan ia adalah lokasi projek pemetaan batu karang keras.
BACA JUGA : TERUMBU KARANG YANG ROSAK DI PULAU MABUL AKAN DIPULIHKAN
Kredit : UTUSAN ONLINE