Karnival Putrajaya mula diperkenalkan sejak 2011 lalu bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada setiap 1 Februari bagaimanapun acara tersebut dihentikan selama 2 tahun pada 2020 dan 2021 disebabkan pandemik COVID-19
Setelah hampir 2 tahun tidak dapat dilaksanakan akibat daripada Pandemik Covid-19 yang melanda negara, kini Karnival Putrajaya kembali pada tahun 2022. Kali ini ia diadakan pada bulan September dengan konsep hiburan bermaklumat
Menerusi konsep tersebut, lebih 55 aktiviti ditawarkan pada Karnival Putrajaya 2022 yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 September , seawal jam 8 pagi sehingga 10 malam di Dataran Putrajaya dan perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Antara program yang dilaksanakan adalah Program Putrajaya Berselawat, Bazar Jualan Usahawan Putrajaya, Karnival Pendidikan dan Haluan Kerjaya, Belon Udara Panas, Pertandingan Mewarna, Jelajah Aspirasi Nasional Malaysia Sihat, Persembahan Kesenian dan Kebudayaan, Sesi Bersama Ikon Usahawan & Sukan Negara, Pertandingan Mereka Bentuk Edible Landskap, Persembahan Maskot & Cosplay.
Selain itu terdapat juga Konsert Riuh KLFM @ Putrajaya, Kayuhan Ceria, Pertandingan Fitness Putrajaya, Sukan Rakyat Keluarga Putrajaya, Karnival Perwira Perkasa, Wall Climbing, Larian Ceria Keluarga Malaysia, Pertandingan Fitness, Segmen Santai Ilmiah, Deko Tanaman, Perkhidmatan Kaunter Agensi Kerajaan & Swasta, Persembagan Keseniaan Kebudayaan dan banyak lagi aktiviti diadakan di sepanjang penganjuran karnival tersebut.
Antara program paling menarik adalah Program Putrajaya Berselawat yang menghimpunkan ribuan komuniti setempat.
Ia turut disertai barisan kepimpinan Kementerian Wilayah Persekutuan, PPj, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP), pelajar-pelajar sekolah Putrajaya serta selebriti jemputan antaranya Fakhrul UNIC, Kumpulan InTeam, Afad Raihan dan tausiah bersama Al-Fadhil Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Al-Fadhil Ustaz Imam Muda Asyraf.
Lebih menarik, pihak PPj turut menyediakan sebanyak 300 hadiah cabutan bertuah berjumlah lebih RM100,000 kepada pengunjung yang hadir.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, program tersebut dapat dilaksanakan dengan hasil kerjasama strategik yang berterusan oleh semua pihak terlibat seperti agensi kerajaan, sektor korporat dan swasta serta Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO).
Beliau juga yakin aktiviti riadah tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan terutamanya daripada golongan anak muda.
"Saya yakin dan percaya aktiviti-aktiviti riadah sebegini pastinya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai terutamanya anak muda.
“Secara tidak langsung, karnival ini juga dapat meningkatkan sistem penyampaian Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku Pihak Berkuasa Tempatan menerusi penglibatan komuniti,” kata Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada Majlis Perasmian Karnival Putrajaya 2022 di perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Hadir pada majlis, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), Datuk Ruzain Idris.
Karnival Putrajaya Bakal Diadakan Lebih Kerap
Shahidan turut mengumumkan Karnival Putrajaya anjuran PPj itu berkemungkinan besar bakal diadakan dengan lebih kerap sepanjang tahun untuk disambut oleh seluruh anggota masyarakat Putrajaya dan pengunjung luar.
“Bagaimanapun kita (Kementerian Wilayah Persekutuan) berhasrat ia sesuai dibuat dua kali setahun dengan kali kedua dianjurkan bersempena pula sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya.
Penganjuran aktiviti berbentuk hiburan kekeluargaan itu diharap akan dapat menarik juga penduduk luar untuk datang memeriahkan aktiviti dan menikmati panorama Putrajaya.
“Insya-Allah, buat permulaan ia mungkin boleh diadakan dua kali setahun sebab kita dapat lihat sendiri kiri dan kanan saya penuh sesak sepanjang hari,” Katanya.
"Kali ini adalah waktu petang begini kita tengok orang kiri dan kanan berkunjung di tahap yang cukup luar biasa, insya-Allah karnival ini akan berterusan tiap-tiap tahun seperti yang saya sebutkan tadi.
"Kalau setahun sekali dia ada dua tiga acara itu, dia tidak bagus kita buat setahun sekali. Macam kebersihan best my best Putrajaya sepatutnya kita buat selalu dari masa kesemasa. Jadi karnival ini kita akan ada pre-karnival," Tambahnya lagi.
Kempen BeST Putrajaya 2022
Dalam masa yang sama, Shahidan turut merasmikan Kempen Bersih Setiap Tempat (BeST) Putrajaya 2022.
Objektif utama kempen tersebut adalah untuk memastikan Putrajaya bersih di setiap tempat. Antara aktivitinya adalah tindakan memperkasa kaedah pencucian di kawasan-kawasan awam yang utama dan aktiviti-aktiviti kebersihan seperti plogging, gotong-royong dan pendidikan kesihatan serta kebersihan tandas.
Kempen BeST tersebut merupakan program yang berterusan sejak Jun lalu dengan 14 aktiviti telah dilaksanakan dan lebih banyak aktiviti akan diatur sehingga akhir tahun ini bagi memperkasakan lagi tahap kebersihan di seluruh Putrajaya.