HalalXPlorer Logo
15 June 2020

5 Taman Eko Rimba dibuka di Terengganu, tetapi pengunjung perlu tahu SOP rekreasi

Kongsikan:

Lima Taman Eko-Rimba (TER) di Terengganu akan dibuka semula kepada pengunjung bermula esok, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Muhamad Abdullah berkata, Taman Eko Rimba yang akan dibuka itu ialah Lata Belatan di Besut; Lata Tembakah di Jertih; Chemerong dan Bandar Bukit Bauk di Dungun dan Sekayu di Hulu Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya juga membenarkan pusat rekreasi Lata Kolam Air Deru Ecopark di Jertih beroperasi semula mulai esok dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antara aktiviti yang dibenarkan di taman eko rimba ialah rekreasi umum seperti berkelah, beriadah, memerhati burung, trek hutan, senaman yang tidak melibatkan sentuhan badan, penggambaran dan perfilemen serta lawatan berkumpulan tidak melebihi 20 orang.

“Aktiviti yang tidak dibenarkan pula adalah aktiviti air termasuk mandi-manda di kolam awam, kolam takungan dan kolam air terjun; rekreasi sukan lasak seperti motorcross dan paragliding; aktiviti tali seperti ‘high rope’ dan ‘wall climbing’; majlis keramaian seperti hari keluarga; penganjuran kem motivasi, ‘summer camp’ dan perkhemahan bermalam; aktiviti pengurusan acara dan taman permainan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad berkata, bermula 1 Julai ini, aktiviti pendakian bukit dan gunung di hutan simpanan kekal di Terengganu dibenarkan secara harian sahaja dengan satu kumpulan pendaki tidak melebihi lima orang dan disyaratkan mengguna perkhidmatan pemandu alam semula jadi dan malim gunung berkelayakan atau yang berdaftar dengan jabatan itu.

“Permohonan permit memasuki hutan simpanan kekal bagi tujuan pendakian gunung di Terengganu adalah disyaratkan dua minggu sebelum tarikh pendakian,” katanya dan menambah pengunjung perlu sentiasa mematuhi SOP langkah pencegahan penularan COVID-19.

muzium negeri terengganu

Sementara itu, Muzium Negeri Terengganu dibuka semula untuk kunjungan orang awam bermula Selasa ini, menurut Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), Che Muhamad Azmi Ngah.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, operasi akan bermula pada 10 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dan jumlah pengunjung dihadkan bagi mematuhi jarak sosial satu meter yang disarankan kerajaan.

"Galeri pameran misalnya dihadkan untuk 200 orang sahaja pada satu-satu masa, Muzium Maritim (20 orang), Galeri Pelayaran dan Perdagangan serta perpustakaan (10 orang), Galeri Aquaria (lima orang) dan kedai cenderahati (tiga orang)," katanya.

Katanya, hanya pengunjung berusia 13 hingga 60 tahun sahaja dibenarkan berkunjung ke muzium dan mereka perlu memakai pelitup separuh muka serta memeriksa suhu badan dan menggunakan cecair pencuci tangan pembasmi kuman.

Sumber : BERNAMA

Kami Kongsi. Anda Terokai

Kategori, Tag dan Negeri
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

PILIHAN PEMBACA