HalalXPlorer Logo
18 June 2020

Negeri Sembilan rangka 3 pelan untuk hidupkan semula sektor pelancongan

Kongsikan:

LEMBAGA Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) merangka pelan tindakan yang komprehensif dalam usaha menghidupkan dan mengaktifkan semula sektor pelancongan negeri selepas terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Pengurus Besar LPNS, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pelan itu membabitkan tiga pelan tindakan yang sudah mula dilaksanakan iaitu mengemaskinikan produk pelancongan terkini.

Selain itu, mereka akan membantu mempromosikan produk pelancongan dalam kalangan pengusaha tempatan yang baharu bertapak selaras dengan hasrat menaikkan produk baharu yang sebelum ini tidak berapa dikenali ramai.

"Kita juga akan memberikan pengiktirafan dan tanda pengenalan dalam bentuk plak kepada pengusaha tempatan yang terbabit secara langsung dengan sektor pelancongan yang beridentitikan Negeri Sembilan.

"Ia termasuk kraftangan, makanan tradisional dan produk lain yang bersesuaian yang mana pengusaha dan premis mereka ini akan disenaraikan dalam kalangan ikon pelancongan negeri.

"Ini sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong terutama dari luar negeri ini yang ingin mendapatkan produk beridentitikan Negeri Sembilan," katanya kepada NSTP di Seremban.

Muhammad Zahir berkata, pihaknya yakin sektor pelancongan negeri ini akan kembali hidup apabila semua destinasi termasuk pusat rekreasi dan pantai peranginan khususnya Port Dickson sudah dibuka kepada awam.

Malah katanya, hotel dan resort di negeri ini juga sedang menjalankan promosi dengan tawaran diskaun antara 50 hingga 80 peratus bagi pakej penginapan yang disediakan.

Mengenai sasaran LPNS terhadap jumlah pelancong tahun ini, Muhammad Zahir berkata, pada peringkat awal ia disasarkan antara lima hingga tujuh juta, tetapi jangkaan itu mungkin tidak dapat dicapai susulan pandemik Covid-19.

"Pandemik ini banyak memberi kesan kepada sektor pelancongan negeri, namun kita yakin Negeri Sembilan akan tetap jadi tumpuan pengunjung," katanya.

Sumber : Harian Metro

Kami Kongsi. Anda Terokai

Kategori, Tag dan Negeri
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

PILIHAN PEMBACA