Nampaknya mereka yang melawat kawasan Bukit Bintang akan dapat melihat atau merasai pengalaman ratusan pejalan kaki melintas persimpangan jalan melalui pelbagai arah secara serentak seperti lintasan pejalan kaki yang terkenal iaitu 'Shibuya Crossing' yang terletak di Tokyo, Jepun.

Bermula Sabtu iaitu 19 Jun 2021, DBKL telah mengaplikasikan “scramble pedestrian crossing” persimpangan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail yang menjadi ikon Kuala Lumpur. Antara mercu tanda terkenal di persimpangan tersbut adalah gedung membeli belah Lot 10, Bangunan Yayasan Selangor, Wolo Hotel dan McDonalds Bukit Bintang.

Sebelum ini, kawasan tersebut mendapat jolokan sebagai 'Times Square' melihatkan kepada banyaknya skrin dan paparan LED di persimpangan tersebut, persis Times Square di New York. Persimpangan tersebut juga terkenal dek kerana cawangan McDonalds di situ pernah menggunakan sland 'Mekdi' di papan tanda mereka.

'Scramble pedestrian crossing’, juga dikenali sebagai ‘X-crossing’, ialah satu sistem yang menghentikan aliran trafik semua kenderaan dari pelbagai arah bagi membolehkan pejalan kaki untuk melintas persimpangan dari semua arah termasuklah secara menyerong , semuanya secara serentak.
Menurut DBKL, cara ini dibenarkan beroperasi selepas kajian menyeluruh dilakukan oleh DBKL dan ia akan memudahkan kesemua pengguna jalanraya yang berada di lokasi itu dengan mengoptimumkan waktu melintas serta mengurangkan risiko kemalangan.
Wah, lepas ini boleh lah kita melintas jalan sambil feeling-feeling berada di Shibuya !