Thailand bercadang untuk tidak akan mengenakan kuarantin bagi pelancong yang sudah menerima vaksin Covid-19 yang datang ke Phuket bermula 1 Julai ini.
Satu panel ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha bersetuju cadangan sektor swasta dan perniagaan Phuket untuk memvaksinasi sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk tempatan sebagai persiapan pembukaan semula kepada pelancong yang layak.
Satu program dikenali sebagai 'Phuket Sandbox' telah diperkenalkan bagi membuka Phuket 3 bulan lebih awal berbanding destinasi pelancongan lain.

Ia juga akan berfungsi sebagai model untuk destinasi pelancongan di wilayah lain termasuk Chiang Mai, Chon Buri (Pattaya), Krabi, Phang Nga dan Surat Thani (Koh Samui) yang dijangka dibuka bermula Oktober.
Di bawah program Phuket Sandbox ini, pelancong asing yang telah divaksin tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari, tetapi perlu berada di pulau itu selama 14 hari sebelum melakukan perjalanan ke wilayah lain.
Bagaimanapun, pelan itu perlu mendapat kelulusan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) dan kabinet terlebih dulu, yang masing-masing akan bermesyuarat pada 18 dan 22 Jun.
Sebelum Phuket memutuskan untuk membuka semula pusat peranginan itu kepada pelawat asing, ramai dalam kalangan mereka membantah syarat menginap 14 hari sebelum mereka dibenarkan ke wilayah lain.

Menteri Pelancongan dan Sukan, Pipat Ratchakitprakarn berkata lebih 50 peratus daripada 29,700 warga asing yang merancang untuk mengunjungi pulau itu telah membatalkan hasrat mereka selepas kerajaan mengenakan syarat berkenaan.
Katanya, kementerian memohon tempoh sebulan untuk menilai pelaksanaannya, jika tiada jangkitan dilaporkan sepanjang tempoh itu, pihaknya akan mencadangkan syarat berkenaan dikurangkan kepada tujuh hari bermula di Phuket, sebelum diperluaskan ke wilayah lain.
Pembukaan awal Phuket adalah penting kerana cadangan itu dijangka dapat menambah lebih 30 bilion baht ($1.3 bilion) kepada ekonomi Thailand.
Mengikut rancangan, Mulai 1 Julai, pulau peranginan Phuket bakal menyambut ketibaan pelancong yang sudah lengkap menerima dos vaksin di bawah program “Phuket Sandbox” manakala destinasi popular lain seperti Koh Samui, Koh Phang Nga dan Koh Tao dijadual dibuka kepada pelancong dari 15 Julai menerusi program “Samui Plus”.

Kemudian, pendekatan ‘island approach’ akan diteruskan pada Ogos dan diperluaskan ke Koh Phi Phi, Koh Ngai dan Koh Railay atau “Phang Nan Prompt” (yang menghubungkan Khao Lak dan Koh Yao).
Bermula September, beberapa pendekatan lain akan dilancarkan membabitkan beberapa daerah di Chiang Mai, Chon Buri serta Buri Ram.
Bermula Oktober atau pada suku keempat pula, Bangkok, Cha-Am dan Hua Hin, serta destinasi Thailand yang lain siap untuk dibuka semula kepada pelancong asing sudah lengkap divaksin tanpa perlu menjalani dikuarantin.
Gabenor TAT Yuthasak Supasorn berkata 70 peratus penduduk di Buri Ram perlu disuntik sebagai persiapan penganjuran MotoGP Thailand 2021 di Litar Antarabangsa Chang pada 8-10 Oktober.
Pelan pembukaan semula Thailand untuk tujuan pelancongan ini perlu mematuhi syarat bahawa setiap wilayah itu sudah memvaksin 70 peratus penduduknya dan kes jangkitan tidak boleh melebihi 20 hingga 30 sehari.