Baru-baru ini kerajaan Thailand melalui Perdana Menteri mereka mengumumkan bahawa kerajaan negara tersebut bersedia membuka sempadan untuk sektor pelancongan bermula 1 Julai 2021 di Phuket melalui program Phuket Sandbox dan seterusnya akan diperluaskan lagi ke wilayah-wilayah lain sehingga Oktober 2021.
Keputusan tersebut dilakukan setelah mempertimbangkan kelangsungan hidup rakyatnya dan pemberian vaksin COVID-19 yang telah bermula.
Di bawah rancangan "Phuket Sandbox", pelancong asing yang telah divaksin tidak perlu menjalani kurantin wajib 14 hari. Namun, mereka harus tinggal di pulau itu selama 14 hari sebelum pergi ke wilayah lain dalam negara.
Setakat 15 Jun, sejumlah 6.78 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin termasuk 1.83 juta telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19.
BACA : PHUKET AKAN DIBUKA KEPADA PELANCONG BERMULA 1 JULAI , THAILAND RANCANG BUKA SEMPADAN UNTUK PELANCONG PADA OKTOBER 2021 ,
Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak diterima oleh semua rakyatnya. Seorang pakar kesihatan terkemuka di Thailand mendesak kerajaan menangguhkan pembukaan semula pulau peranginan Phuket kepada pelancong yang telah divaksin tanpa perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari, mulai 1 Julai.
Dekan Fakulti Perubatan Hospital Siriraj Universiti Mahidol, Prof Dr Prasit Watanapa berkata kadar vaksinasi yang rendah serta kemungkinan varian baharu akan dibawa masuk ke negara tersebut boleh menimbulkan ancaman baharu terhadap kesihatan dan ekonomi negara tersebut.
Katanya, vaksin yang diberikan buat ketika ini tidak berkesan terhadap semua varian dna kemungkinan akan muncul varian baharu di Thailand yang tidak dapat dikawal sekaligus melumpukan institusi kesihatan.
"Jika langkah-langkah untuk sekatan kawasan dan mengawal penularan tidak selari dengan vaksinasi, dan orang ramai anggap semuanya akan baik hanya kerana telah divaksin, saya fikir ia berbahaya. Jika ada penularan baharu di Phuket, saya fikir ia akan memburukkan lagi ekonomi," katanya seperti dipetik oleh Thai PBS.